Treler terbalik, trafik sesak 8 kilometer di Lebuh Raya Utara-Selatan
IPOH – Kemalangan membabitkan sebuah treler yang terbalik di Kilometer 256.8 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dari Ipoh menuju Kuala Kangsar, mengakibatkan kesesakan trafik sejauh lapan kilometer, tengah hari tadi.
Menurut Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), kejadian berlaku kira-kira jam 12.39 tengah hari dan menyebabkan semua lorong di laluan berkenaan terhalang sepenuhnya.
“Pengguna dinasihatkan menggunakan laluan keluar di Plaza Tol Ipoh Selatan sebagai alternatif bagi mengelak kesesakan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dikongsikan LLM menunjukkan treler terbabit terbalik dan melintang di atas laluan lebuh raya, sekali gus menghalang kelancaran trafik.
Setakat jam 1.09 tengah hari, pasukan bomba dilaporkan berada di lokasi bagi mengendalikan insiden tersebut.
“Trafik terhenti sepanjang lapan kilometer. Segala kesulitan amat dikesali. Rancang perjalanan anda,” katanya lagi.
Setakat ini, tiada sebarang maklumat berhubung jumlah mangsa atau kecederaan dilaporkan.
Usaha sedang dijalankan bagi mengalihkan kenderaan berat terbabit dan memulihkan aliran trafik di lokasi kejadian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






