
Tragedi Putra Heights: Petronas perlu bertanggungjawab sepenuhnya – Yeo Bee Yin
PUCHONG – Petronas perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap semua kerugian dialami mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, tegas Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin.
Beliau berkata demikian susulan laporan siasatan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) yang mendapati punca kebakaran tersebut adalah kegagalan struktur saluran paip akibat tekanan berulang serta sokongan tanah yang tidak mencukupi.
“Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum JKKP, Husdin Che Amat menjelaskan keadaan tanah tidak stabil menjadi penyumbang utama kelemahan struktur sehingga menyebabkan kebocoran gas dan seterusnya kebakaran besar itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Yeo turut merujuk kenyataan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan yang memaklumkan tiada unsur sabotaj, kecuaian atau niat jenayah dalam kejadian tersebut.
“Meskipun tiada unsur jenayah dikesan, beliau tidak bersetuju bahawa tiada kecuaian berlaku.
“Sebagai pemilik saluran paip, Petronas mempunyai tanggungjawab memastikan semua aset diselenggara dengan baik dan selamat.
“Keadaan tanah tidak boleh dijadikan alasan terhadap kegagalan struktur berskala besar seperti ini,” katanya lagi.
Justeru, Yeo mendesak agar Petronas tampil bertanggungjawab sepenuhnya dan menyalurkan pampasan yang sewajarnya kepada semua mangsa, kerana bantuan semasa daripada kerajaan dan masyarakat belum cukup menampung kesan fizikal, mental dan emosi yang dialami mereka.
Beliau turut menggesa Petronas menjalankan penilaian struktur menyeluruh terhadap keseluruhan rangkaian saluran paip gas sepanjang 2,623 kilometer di Semenanjung Malaysia bagi mengelakkan kejadian serupa daripada berulang.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |