
Tragedi berulang di lokasi sama, pemuda maut dirempuh van langgar lampu merah
SEREMBAN – Insiden maut akibat pelanggaran lampu isyarat merah kembali berulang di Jalan Persiaran Senawang 1, apabila seorang lelaki berusia 20 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah van awal pagi semalam.
Kemalangan berlaku pada pukul 12.10 tengah malam berhampiran persimpangan lampu isyarat Matahari Height menghala ke Paroi, lokasi sama tragedi pada Mac lalu yang mengorbankan tiga sekawan dalam kejadian hampir serupa.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, siasatan awal mendapati van jenis Toyota Hiace yang dipandu lelaki berusia 44 tahun bersama seorang penumpang wanita berumur 20 tahun dipercayai melanggar lampu merah sebelum merempuh motosikal mangsa dari arah kiri.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Rembau untuk proses bedah siasat.
Tambahnya, pemandu van tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
“Hasil ujian kandungan alkohol terhadap pemandu juga didapati negatif,” katanya.
Pihak polis kini giat menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan insiden diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Tiew Chuan Jie di talian 014-9668399 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |