
TPM Zahid mulakan lawatan rasmi ke UK, fokus TVET, pelaburan dan pelancongan
LONDON — Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memulakan lawatan kerja rasmi beliau ke United Kingdom selama empat hari bermula malam tadi.
Menurut Ahmad Zahid, lawatan kerja itu merupakan usaha memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan United Kingdom khususnya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pelaburan serta pelancongan.
Jelas beliau, lawatan tersebut memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama strategik termasuk melalui pertemuan dengan institusi ternama seperti University College London, di mana beliau akan menyampaikan syarahan umum berkenaan hala tuju TVET negara.
“Insya-Allah, lawatan ini akan menjadi medan penting untuk memperluas jaringan diplomatik dan membuka lebih banyak pintu peluang kepada rakyat dan negara,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Terdahulu, Ahmad Zahid tiba di Lapangan Terbang Heathrow, London dan disambut oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Datuk Zakri Jaafar, bersama pegawai kanan kedutaan serta wakil agensi kerajaan yang berkaitan.
Beliau dijadualkan mengadakan sesi libat urus bersama pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA), selain mempromosikan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 kepada pelabur dan penggiat industri pelancongan di United Kingdom dan Eropah.
Lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa serta menarik pelaburan berkualiti tinggi selaras dengan agenda pembangunan negara.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |