TPM ucap takziah, kecam serangan Israel terhadap petugas media Al Jazeera
KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan ucapan takziah kepada keluarga lima petugas media Al Jazeera yang terkorban dalam serangan terancang tentera Israel di Bandar Gaza.
Menerusi hantaran di Facebook semalam, beliau berkata, kesemua mangsa gugur ketika menjalankan tugas mulia menyampaikan kebenaran dan melaporkan keadaan sebenar di lapangan demi membuka mata dunia terhadap penderitaan rakyat Palestin.
“Keberanian dan pengorbanan mereka menjadi bukti perjuangan menegakkan keadilan tidak akan pernah padam walaupun nyawa menjadi taruhan,” katanya.
Serangan itu mengorbankan Anas al-Sharif, Mohammed Qreiqeh, Ibrahim Zaher, Moamen Aliwa dan Mohammed Noufal.
Ahmad Zahid berkata, beliau mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam tersebut yang jelas melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Menurutnya, Malaysia akan terus bersuara di pentas dunia memperjuangkan keadilan untuk rakyat Palestin serta menuntut penghentian segera serangan terhadap wartawan dan petugas kemanusiaan.
“Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para syuhada,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








