
TNI sahkan pelayaran USS Nimitz ikut peruntukan antarabangsa
JAKARTA – Tentera Nasional Indonesia (TNI) mengesahkan kapal induk USS Nimitz milik Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) melintasi Selat Melaka mengikut ketetapan undang-undang maritim antarabangsa.
Ketua Pusat Penerangan TNI, Mejar Jeneral Kristomei Sianturi berkata, kapal itu dalam pelayaran dari Laut China Selatan ke Lautan Hindi melalui Selat Singapura dan Selat Melaka.
“USS Nimitz melaksanakan hak laluan transit sebagaimana diperuntukkan di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982.
“Laluan ini merupakan perairan antarabangsa yang membolehkan kapal perang asing melintasi tanpa keperluan notis awal, selagi tidak menjejaskan keselamatan atau kedaulatan negara pesisir,” katanya dalam satu kenyataan.
Penjelasan itu dikeluarkan susulan penularan rakaman video yang menunjukkan kehadiran kapal berkenaan berhampiran perairan Aceh pada 17 Jun, ketika ketegangan antara Israel dan Iran semakin memuncak.
Kristomei memaklumkan sistem pengecaman automatik (AIS) kapal itu dikesan aktif di perairan utara Belawan, berhampiran Medan, Sumatera Utara, pada Selasa.
“Angkatan Tentera Indonesia memperkukuh pemantauan terhadap sebarang pergerakan kapal asing dan kekal berwaspada dalam mempertahankan kedaulatan perairan negara,” tegas beliau.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |