BERITA SEMASA

TLDM selamatkan kapal layar hanyut selama empat hari

KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sekali lagi membuktikan keupayaannya dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di laut apabila berjaya menyelamatkan sebuah kapal layar, Meridian of Sydney, yang dipercayai telah hanyut selama empat hari.

TLDM dalam satu kenyataan hari ini berkata, kapal tersebut dikatakan mengalami masalah kerosakan jentera utama sebelum dihanyutkan ke perairan barat laut Pulau Perak.

“Pusat Operasi Markas Wilayah Laut 3 (PUSOP MAWILLA 3) telah menerima maklumat pada jam 11.30 pagi daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengenai kegagalan komunikasi dengan kapal layar tersebut ketika dalam pelayaran dari Krabi ke Langkawi.

“Menyedari keperluan untuk bertindak pantas, TLDM segera menggerakkan Kapal Diraja (KD) MAHAMIRU untuk menjalankan pencarian bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Tambah TLDM, KD MAHAMIRU tiba di lokasi pada jam 1.15 tengah hari dan mendapati kapal layar berkenaan mengalami kerosakan pada jentera utama dan layar, menyebabkan ia tidak dapat meneruskan pelayaran.

“Seorang individu, Kepten Kelvin Holly yang merupakan warganegara Australia berada di atas kapal. Beliau telah berada di laut sejak 8 Mac lalu.

“TLDM terus bertindak pantas dengan memberikan bantuan awal berupa makanan dan minuman kepada Holly sebelum melaksanakan operasi menunda kapal layar tersebut ke perairan Langkawi,” katanya.

Dalam pada itu katanya, kapal layar tersebut akan ditunda ke Jeti Langkawi, dan akan diserahkan kepada APMM untuk urusan selanjutnya.

“Kecekapan dan tahap profesionalisme warga TLDM dalam operasi ini membuktikan tanggungjawab dan amanah yang digalas adalah fokus utama dalam memastikan keselamatan maritim serta berkeupayaan untuk bertindak pantas dalam sebarang keadaan kecemasan di perairan negara.

“Kejayaan ini juga memperkukuhkan peranan TLDM sebagai barisan hadapan dalam keselamatan di laut, selaras dengan misi utama memastikan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button