TLDM bakal mengoperasikan dua jenis misil antipermukaan dari Norway – Khaled Nordin
KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bakal mengoperasikan dua kategori misil antipermukaan (Surface to Surface Missiles, SSM), termasuk Naval Strike Missile (NSM) buatan Norway yang dijadualkan diterima pada Mac ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada pelan penggantian berperingkat ke atas sistem peluru berpandu anti-kapal TLDM.
Beliau berkata, penekanan diberikan kepada penggunaan platform generasi baharu seperti NSM yang menawarkan jarak operasi lebih jauh, tahap kebolehhindaran radar yang lebih tinggi serta keupayaan integrasi dengan rangkaian sensor moden.
“Pendekatan berperingkat dan berhemah ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memodenkan keupayaan TLDM secara realistik dan mampan, selaras dengan keperluan keselamatan maritim negara dan kemampuan fiskal semasa,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat, di sini, semalam.
Baca juga : Isu terpencil tidak cerminkan watak sebenar Angkatan Tentera Malaysia – Khaled Nordin
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) mengenai rancangan penggantian peluru berpandu jenis Exocet MM40 Blok II (berusia 29 tahun) yang usang dan tidak relevan lagi digunakan untuk kapal tempur milik TLDM dengan peluru berpandu generasi kelima, seperti NSM dan jangkaan program penggantian selesai.
Dalam perkembangan berkaitan, Khaled memaklumkan misil ATMACA keluaran Turkiye juga kini berada dalam fasa perolehan dan disasarkan untuk diterima pada tahun 2028.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








