
Titah adendum: Tiada titah tambahan diterima, hanya pengurangan hukuman – Saifuddin Nasution
PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Penjara tidak menerima sebarang titah tambahan daripada Yang Dipertuan Agong berkaitan pelaksanaan hukuman tahanan rumah ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Jabatan Penjara hanya menerima surat daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri pada 2 Februari 2024, yang memuatkan keputusan Lembaga Pengampunan berhubung pengurangan hukuman Najib.
“Minit mesyuarat Lembaga Pengampunan dan perintah pengurangan hukuman yang diterima tidak menyebut apa-apa mengenai tahanan rumah. Pengurangan hukuman tersebut, seperti yang diketahui, menetapkan tarikh pembebasan awal pada 23 Ogos 2028, dengan denda dikurangkan kepada RM50 juta.
“Sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara bagi Najib akan ditambah selama setahun dan tarikh pembebasan adalah 23 Ogos 2029,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan Najib memulakan semakan kehakiman untuk memaksa Menteri Dalam Negeri dan kerajaan melaksanakan titah tambahan yang didakwa wujud.
Najib bergantung kepada afidavit anaknya, Datuk Mohd Nizar serta surat dari Istana Pahang yang mengesahkan kewujudan titah berkenaan.
Titah tambahan itu, menurut Najib, adalah untuk membolehkan beliau menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.
Bagaimanapun, Saifuddin menegaskan bahawa hanya keputusan rasmi Lembaga Pengampunan yang diterima pihaknya dan tiada sebarang arahan lain berhubung tahanan rumah.
“Dalam penghujahan di mahkamah, Tan Sri Shafee mendakwa bahawa KDN tidak melaksanakan keputusan berkaitan tahanan rumah. Namun, berdasarkan dokumen rasmi yang diterima oleh KDN, tidak ada arahan mengenai tahanan rumah.
” Apa yang kami terima hanyalah arahan untuk mengurangkan tempoh pemenjaraan dan denda.
“Minit mesyuarat Lembaga Pengampunan adalah dokumen rahsia besar, tetapi saya boleh mengesahkan bahawa ia tidak mengandungi apa-apa tentang tahanan rumah. Pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) yang turut hadir dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan juga menyatakan perkara yang sama di mahkamah,” tegasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






