BERITA SEMASADALAM NEGERI

Tingkatkan kesedaran undang-undang keibubapaan demi keselamatan anak

KUALA LUMPUR – Kes melibatkan pengabaian dan kecuaian terhadap anak yang dilaporkan saban waktu menjadi petunjuk jelas masih ramai ibu bapa di Malaysia belum memahami sepenuhnya tanggungjawab mereka di sisi undang-undang.

Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr. Nisar Mohammad Ahmad berkata, tahap kesedaran undang-undang ibu bapa di Malaysia masih berada pada tahap sederhana dan tidak menyeluruh.

“Masih terdapat banyak kes kecuaian dan pengabaian anak yang berlaku di negara ini.

“Ia menunjukkan ramai ibu bapa tidak menyedari bahawa kecuaian dalam penjagaan anak boleh membawa kepada implikasi undang-undang yang serius,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Mengulas lanjut, Dr. Nisar menjelaskan bahawa Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) memperuntukkan hukuman berat terhadap ibu bapa atau penjaga yang lalai dalam tanggungjawab mereka.

Menurut beliau, Seksyen 31(1) akta berkenaan membolehkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya bagi kes penganiayaan, pengabaian atau pendedahan kanak-kanak kepada bahaya.

KPT Akademia
Dr. Nisar berharap usaha meningkatkan kefahaman masyarakat perlu melibatkan institusi pendidikan, komuniti setempat dan NGO.

Sementara itu, Seksyen 33 pula memperuntukkan denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun terhadap ibu bapa yang cuai hingga menyebabkan anak melakukan perbuatan berbahaya.

“Malah, ibu bapa yang membenarkan anak bawah umur memandu tanpa lesen juga boleh didakwa di bawah Seksyen 111 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM2,000 atau penjara enam bulan,” katanya lagi.

Dalam usaha meningkatkan kefahaman masyarakat, Dr. Nisar menegaskan bahawa tanggungjawab itu bukan hanya dipikul oleh kerajaan, malah turut melibatkan institusi pendidikan, komuniti setempat dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Inisiatif seperti Transformasi Sekolah 2025 (TS25) dan peranan aktif Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) telah menunjukkan keberkesanan dalam membina hubungan kolaboratif antara sekolah dan komuniti.

“Selain itu, usaha Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang menganjurkan bengkel keibubapaan dan memperkenalkan modul seperti PEKA (Pendidikan Keselamatan Keluarga dan Anak) serta KASIH Keibubapaan Digital juga perlu dipuji,” ujarnya.

Golongan ibu bapa perlu membina hubungan kolaboratif antara sekolah dan komuniti dalam meningkatkan kefahaman masyarakat berhubung keselamatan anak-anak. – Gambar hiasan 

Namun tegasnya, usaha itu masih perlu diperluas ke kawasan luar bandar dan komuniti berpendapatan rendah agar manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh.

Dalam pada itu, Dr. Nisar turut mengemukakan beberapa cadangan bagi memastikan kempen kesedaran undang-undang keibubapaan dapat dilaksanakan secara berkesan.

Antaranya termasuklah kempen bersepadu nasional melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan NGO, pembangunan modul latihan wajib untuk ibu bapa, penyediaan platform digital interaktif bagi penyebaran maklumat undang-undang serta kempen media massa yang menampilkan kisah benar dan nasihat pakar.

“Malah, kerajaan boleh mempertimbangkan pindaan undang-undang yang mewajibkan ibu bapa menyertai program pendidikan keibubapaan sebagai syarat kelayakan bantuan sosial atau pendaftaran sekolah,” katanya.

Beliau menekankan membina kesedaran undang-undang dalam kalangan ibu bapa bukan hanya soal kepatuhan terhadap peraturan, tetapi lebih besar daripada itu.

“Ia adalah usaha membentuk masyarakat yang prihatin, bertanggungjawab dan berilmu demi kesejahteraan generasi akan datang,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button