Berita Semasa

Tingkat kesedaran teknologi AI: Kementerian Digital adakan kerjasama dengan KPM, KPT tahun ini

CYBERJAYA – Kementerian Digital menerusi Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk melaksanakan program kesedaran kecerdasan buatan (AI), pada tahun ini.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, langkah tersebut adalah untuk memastikan pelajar di negara ini memperoleh manfaat terbaik daripada penggunaan teknologi digital yang kian berkembang pesat.

“Saya lihat Kementerian Digital boleh menjadi pengantara bagi institut pendidikan dan kerajaan, bagaimana kita boleh mewujudkan infrastruktur yang diperlukan di institut, sekolah, universiti dan bagaimana kita dapat bekerjasama untuk memastikan bahawa kita dapat mewujudkan satu negara yang celik digital,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutupan ICT Peringkat Kebangsaan Sekolah-sekolah Tamil, di Universiti Multimedia Cyberjaya hari ini.

Gobind Singh Deo. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Mengulas lanjut, Gobind berkata, usaha meningkatkan kesedaran terhadap penggunaan teknologi AI termasuk menyediakan infrastruktur yang lengkap di institut pendidikan bagi memastikan proses pembelajaran berkaitan teknologi AI berjalan lancar.

“Program kesedaran AI akan menjadi agenda utama Kementerian Digital tahun ini dan ia akan digerakkan menerusi Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO), yang turut menekankan aspek keselamatan siber,” katanya.

Dalam pada itu, Gobind turut menekankan kuasa teknologi adalah sangat penting untuk memastikan kanak-kanak sedar akan kegunaannya dan bagaimana ia boleh memanfaatkan kehidupan seharian mereka.

“Salah satu aspek yang kita lihat adalah bagaimana kita dapat memastikan, ke depan, kita memberi maklumat terperinci kepada masyarakat mengenai apa sebenarnya teknologi AI ini dan bagaimana ia boleh membantu kita dalam kehidupan harian,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button