Tindakan tegas jika projek pembangunan dilengahkan – PM
KANGAR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menyebabkan kelewatan pelaksanaan projek pembangunan sehingga menjejaskan kepentingan rakyat.
Amaran itu disuarakan ketika beliau mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Perlis di Pejabat Pembangunan Negeri Perlis yang turut dihadiri Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
Perdana Menteri menegaskan, jentera kerajaan di semua peringkat perlu mempercepatkan kelulusan dan pelaksanaan projek tanpa dibelenggu kerenah birokrasi, dalam usaha memperkukuh kekuatan dalaman negara serta meningkatkan daya tahan ekonomi dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik dunia, termasuk kesan dasar tarif Amerika Syarikat.
“Saya arahkan agensi-agensi memperketat pemantauan projek, dan tidak teragak-agak menghukum pihak yang melengahkannya hingga menjejaskan rakyat,” katanya melalui kenyataan di Facebooknya hari ini.

Dalam mesyuarat tersebut, Mohd Shukri membentangkan beberapa keutamaan pembangunan negeri termasuk pembangunan Pelabuhan Sanglang, pembinaan semula Sekolah Kebangsaan Chuping, penyelesaian projek terbengkalai Sekolah Sukan Malaysia Perlis serta menaik taraf kolam takungan banjir Chuping.
Mengambil kira keperluan segera itu, Perdana Menteri turut mengarahkan supaya pembinaan semula Sekolah Kebangsaan Chuping dimulakan tahun ini dan projek Sekolah Sukan Malaysia Perlis diserahkan kepada syarikat berkepentingan kerajaan (GLC) yang berkeupayaan.
Beliau juga menyeru semua pihak berani berfikir di luar kerangka biasa untuk mempercepatkan penyelesaian masalah rakyat dan membina benteng ekonomi negara yang kukuh, demi mengangkat martabat rakyat dan Malaysia di persada antarabangsa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






