BERITA SEMASA

Tindakan label MADANI sebagai jahiliah amat keterlaluan, mendukacitakan

PUTRAJAYA – Tindakan sesetengah ahli politik melabel pendekatan MADANI sebagai ‘jahiliah’ dan seumpamanya adalah amat keterlaluan dan mendukacitakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, beliau amat kesal dengan sikap sedemikian yang yang sengaja mencetuskan polemik terhadap konsep dan pendekatan MADANI yang menjadi gagasan negara hari ini.

“Hakikatnya, konsep MADANI yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah satu gagasan murni untuk mengangkat semula martabat negara.

“Konsep MADANI telah diterima secara menyeluruh oleh sarjana Islam sebagai bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Konsep MADANI yang dilancarkan Anwar pada 19 Januari 2023 menekankan pendekatan pembangunan negara yang bersifat syumul, holistik dan komprehensif dari aspek rohani dan jasmani.

Mohd Na’im kemudiannya menyeru umat Islam supaya berwaspada dengan usaha mana-mana pihak yang sengaja menimbulkan polemik pemikiran keagamaan bagi meraih kepentingan tertentu.

“Sempena lembaran baharu tahun 2025, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyeru semua pihak supaya memperkukuh perpaduan untuk membangunkan negara demi kepentingan rakyat,” katanya lagi.

Laporan media sebelum ini berkata, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menganggap ketidakhadiran Perdana Menteri pada Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) di Kaherah, Mesir menunjukkan perjuangannya yang membawa slogan MADANI bukannya meletakkan Islam sebagai landasan.

Ahli Parlimen Marang itu didakwa berkata, perjuangan Anwar bergantung kepada MADANI Jahiliah seperti Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan BlackRock.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button