Tindakan komital terhadap mantan Peguam Negara tidak wajar – JPN
PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara (JPN) menegaskan bahawa permohonan untuk memulakan prosiding komital terhadap mantan Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, adalah satu langkah yang tidak wajar, pramatang dan bertentangan dengan perintah mahkamah yang sedang berkuat kuasa.
Permohonan tersebut difailkan oleh pihak peguam Datuk Seri Najib Tun Razak pada 21 Mei 2025 seperti yang diumumkan dalam kenyataan firma guaman Tetuan Shafee & Co.
Bagaimanapun, JPN dalam kenyataannya menyatakan bahawa isu-isu yang menjadi asas kepada permohonan itu masih dalam proses rayuan di Mahkamah Persekutuan dan dijadualkan untuk didengar pada 1 dan 2 Julai 2025.
“Semua persoalan undang-undang yang berkaitan akan dihujahkan sepenuhnya dalam prosiding rayuan tersebut.
“Maka, sebarang cubaan untuk memulakan tindakan komital pada masa ini adalah tidak kena pada tempatnya dan mengganggu proses kehakiman yang sedang berjalan,” kata kenyataan itu.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini, pada 28 April 2025 membenarkan penangguhan semua prosiding berkaitan kes ini sehingga Mahkamah Persekutuan membuat keputusan.
Penangguhan itu turut disahkan secara bertulis pada 22 Mei, merangkumi semua prosiding sedia ada dan akan datang, termasuk prosiding penghinaan mahkamah.
JPN memberi amaran bahawa mana-mana tindakan yang melanggar perintah penangguhan boleh dianggap sebagai satu penghinaan terhadap proses kehakiman dan pihaknya tidak teragak-agak untuk memohon agar permohonan komital tersebut diketepikan sebagai penyalahgunaan proses mahkamah.
Tambah kenyataan itu lagi, Tan Sri Ahmad Terrirudin ketika menjawat jawatan Peguam Negara telah menjalankan tanggungjawab beliau mengikut lunas Perlembagaan.
Dakwaan kononnya beliau mengelirukan mahkamah disifatkan tidak berasas dan kini sedang diteliti oleh Mahkamah Persekutuan.
JPN turut menyeru semua pihak agar menghormati proses mahkamah dan membenarkan sistem keadilan berjalan tanpa gangguan luar, spekulasi atau tekanan awam yang boleh menggangu perjalanan keadilan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






