Berita SemasaEh Apa Tu

Timbalan Perdana Menteri cadang elaun APM dinaikkan sekali ganda

KAJANG – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mencadangkan bayaran elaun bagi anggota sukarewan Agensi Pertahanan Awam (APM) dinaikkan sekali ganda kepada RM80 sehari.

Beliau berkata, cadangan bagi menaikkan bayaran semasa itu akan dibincangkan pada peringkat Jemaah Menteri dan kementerian berkenaan dalam masa terdekat.

Zahid yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, kenaikan bayaran elaun itu mengambil kira komitmen dan beban tugas yang dipikul oleh anggota APM terutama dalam operasi melibatkan bencana.

“Ada anggota dan pegawai APM yang sanggup ketepikan perayaan bersama keluarga untuk membantu mangsa ketika kejadian kebakaran (paip gas) di Putra Heights baru-baru ini.

“Saya mahu peranan APM diiktiraf dan elaun yang diberikan untuk kerja sukarela hanya RM40 sehari. Saya sudah berbincang agar disamaratakan (elaun) dengan sukarelawan lain, iaitu sebanyak RM80 sehari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutup Bulan Pertahanan Awam Tahun 2025 di Ibu Pejabat APM, yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Bayaran elaun bagi sukarelawan APM sebanyak RM40 tidak pernah dinaikkan sejak 2023.

Menurut Ahmad Zahid, walaupun APM dikira sebagai barisan kedua dalam pasukan pertahanan negara, penglibatan pasukan itu dalam kejadian bencana tidak dapat dinafikan.

Bahkan katanya, APM sering menjadi antara pasukan terawal yang tiba di lokasi untuk menghulurkan bantuan termasuk dalam kes kebakaran saluran paip gas di Putra Heights pada hari raya kedua yang lalu.

Pada masa yang sama, beliau memuji kecemerlangan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) yang terlibat dalam misi bantuan mangsa gempa bumi Myanmar.

“Pasukan Smart antara pasukan mencari dan menyelamat khas ternama di Asia selain Jepun. Di seluruh Asean, hanya Malaysia ada pasukan Smart.

“Mereka telah mengharumkan nama negara di Myanmar. Saya telah meminta untuk mereka semua diberi sijil penghargaan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button