
Timbalan Ketua Eksekutif SME Corp maut digilis treler selepas motosikal terjatuh di Lebuhraya Utara-Selatan
SEREMBAN – Timbalan Ketua Eksekutif SME Corp, Mohd Rithaudden Makip, maut selepas motosikal berkuasa tinggi jenis BMW yang ditunggang terlibat dalam kemalangan di Kilometer (KM) 254.6 Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara), kelmarin.
Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 4 petang itu, mangsa berusia 51 tahun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala selepas terjatuh dan digilis sebuah treler.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang membrek secara mengejut di lorong kecemasan.
“Mangsa yang menunggang motosikal BMW berusaha mengelak kenderaan tersebut namun terlanggar bahagian cermin lampu belakang Ford Ranger sebelum terjatuh dan digilis sebuah treler yang datang dari belakang,” jelasnya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut Mohamad Hatta, pemandu Ford Ranger yang berusia 65 tahun bersama penumpang wanita berusia 54 tahun dalam perjalanan dari Rembau ke Shah Alam.
Mereka tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan itu.
Sebuah lagi motosikal yang datang dari arah belakang turut gagal mengelak dan melanggar bahagian belakang pacuan empat roda tersebut.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Polis turut menasihatkan orang ramai agar tidak menggunakan lorong kecemasan kecuali dalam situasi kecemasan atau apabila sistem lorong pintar (smart lane) telah diaktifkan.
Kaedah 53(1) LN 166/59 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 menyatakan lorong kecemasan hanya boleh digunakan oleh kenderaan dalam kecemasan sahaja.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Inspektor Tiew Chuan Jie di talian 014-9668399 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |