
Tiga spesimen paip dikeluarkan dari lokasi letupan – Ketua Polis Selangor
SUBANG JAYA – Sebanyak tiga spesimen paip sepanjang 16 meter berjaya dikeluarkan dari lokasi insiden letupan paip gas di Putra Heights di sini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pengeluaran spesimen berkenaan adalah sebahagian daripada proses siasatan forensik yang dilakukan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dengan kerjasama Jabatan Kehakiman (DOJ) dan agensi teknikal lain.

“Setakat ini, kita sudah keluarkan tiga spesimen utama yang panjangnya 16 meter, masih ada satu lagi spesimen sepanjang 4 hingga 5 meter yang perlu dikeluarkan dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, hari ini.
Menurut Hussein, spesimen-spesimen berkenaan akan dihantar ke makmal untuk dianalisis oleh DOJ dengan bantuan SIRIM bagi menjalankan ujian bahan serta beberapa analisa teknikal lain.
“Spesimen ini penting untuk menentukan punca sebenar letupan yang berlaku, jadi prosesnya tidak boleh dibuat tergesa-gesa kerana ia adalah bahan bukti utama,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa kerja-kerja penggalian telah pun mencapai dasar dan kini hanya berbaki proses pemotongan dan logistik keluar dari lokasi.
Katanya, proses siasatan terhadap spesimen itu mengalami kelewatan akibat cuaca tidak menentu.
“Dalam tempoh 25 hari ini, hampir 75 peratus daripadanya adalah hari hujan. Itu turut menjejaskan kelancaran operasi,” katanya.
Siasatan di kawasan yang dikenali sebagai Ground Zero itu dijangka selesai dalam tempoh seminggu sebelum diserahkan kepada pihak PETRONAS untuk kerja-kerja pemulihan paip gas dan pemeriksaan ke atas saluran lain.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |