BERITA SEMASA

Tiga saintis muda wakili Malaysia ke mesyuarat Nobel Laureate Lindau ke-74 di Jerman

 

KUALA LUMPUR – Malaysia terus mencipta kejayaan di persada antarabangsa apabila tiga saintis muda negara terpilih menghadiri Mesyuarat Nobel Laureate Lindau ke-74 yang dijadual berlangsung di Jerman dari 29 Jun hingga 4 Julai ini.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, mesyuarat kali ini yang memfokuskan bidang kimia akan menghimpunkan kira-kira 35 penerima Hadiah Nobel serta lebih 600 saintis muda dari 84 negara.

Menurut MOSTI, Malaysia akan diwakili oleh pelajar Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang Sains Gunaan (Kimia Gunaan) dari Universiti Teknologi Petronas (UTP), Nur Diyan Mohd Ridzuan; pensyarah kanan di Bahagian Teknologi Bioproses, Pusat Pengajian Teknologi Industri, Universiti Sains Malaysia (USM); Dr. Ana Masara Ahmad Mokhtar, 34, dan pensyarah di Jabatan Kimia Farmaseutikal, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Dr. Mak Kit Kay, 33.

“Mesyuarat Nobel Laureate Lindau yang diasaskan pada tahun 1951 bertujuan menggalakkan dialog merentas generasi, disiplin sains dan budaya.

“Setiap tahun, mesyuarat ini memberi tumpuan kepada satu bidang sains secara bergilir-gilir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MOSTI turut menyatakan bahawa mesyuarat tersebut menjadi platform unik kepada saintis muda untuk berinteraksi secara langsung dengan para penerima Hadiah Nobel melalui pelbagai aktiviti seperti syarahan, perbincangan panel serta sesi santai.

Menterinya, Chang Lih Kang berkata, penyertaan tersebut mencerminkan keupayaan bakat tempatan untuk bersaing di peringkat global, seiring dengan komitmen kementerian dalam membangunkan generasi saintis masa depan menerusi pelaburan jangka panjang dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Kami percaya interaksi dengan para pemikir dan penerima Hadiah Nobel akan memperluas horizon penyelidik muda negara serta memberi inspirasi kepada lebih ramai belia untuk menyertai bidang sains, teknologi dan inovasi,” katanya.

Sementara itu, Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM), Datuk Dr. Tengku Mohd Azzman Shariffadeen Tengku Ibrahim berkata, saintis muda negara turut berpeluang memperkenalkan hasil penyelidikan dan kepakaran masing-masing di pentas antarabangsa, sekali gus membuka peluang kolaborasi dengan institusi penyelidikan bertaraf dunia.

Program selama seminggu itu merangkumi syarahan oleh penerima Hadiah Nobel, sesi perbincangan interaktif Agora serta perbincangan panel berkaitan isu-isu global.

Ia turut membuka ruang untuk para peserta menjalin jaringan penyelidikan dan membina hubungan kolaboratif bersama rakan serta mentor dari seluruh dunia.

Sejak tahun 2004, ASM selaku badan pencalon rasmi telah mengenal pasti dan mencalonkan saintis-saintis berpotensi untuk dinilai oleh panel semakan saintifik Mesyuarat Nobel Laureate Lindau.

Sehingga kini, seramai 89 saintis muda dari Malaysia telah terpilih menyertai program berprestij tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button