BERITA SEMASA

Tiga personaliti tempatan, 404 penguat kuasa Maritim Malaysia sertai perbarisan Hari Kebangsaan ke-67

PUTRAJAYA – Seramai 350 pegawai lelaki, 15 pegawai wanita bersama 39 orang ahli pasukan pancaragam Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan menyertai perbarisan bersempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 di Dataran Putrajaya, pagi esok.

Tahun ini, Maritim Malaysia tampil dengan kelainan apabila menjemput personaliti tempatan iaitu Nabil Ahmad (pelawak), Azad Jasmin (pelakon) dan Radin Amir Affendy (penyampai radio) yang akan turut serta dalam perbarisan bersama warga Maritim Malaysia.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, melalui penyertaan perbarisan ini, masyarakat khususnya komuniti bandar diharapkan akan semakin mengenali identiti Maritim Malaysia.

“Dengan cara ini, ia dapat menarik minat para belia tempatan yang berkelayakan untuk menjadi penguat kuasa Maritim Malaysia,” katanya.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Bersama Kontinjen Perarakan dan Perbarisan Maritim Malaysia sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 di sini, petang semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Maritim Malaysia, Kepten Maritim Kehormat Mohd Norzam Mustapa serta Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan Maritim Malaysia, Mohd Nasir Mohamad Mazlan.

Sementara itu, Saiful Lizan turut menaruh harapan tinggi kepada pegawai dan anggota yang menyertai perbarisan ini dapat memberikan persembahan terbaik pada hari tersebut, sekaligus menjadi penanda aras terhadap tahap kecemerlangan dan professional Maritim Malaysia.

Beliau berkata, sebagai agensi yang diletakkan di bawah kluster keselamatan, Maritim Malaysia ingin menunjukkan peranan agensi dalam memastikan perairan Malaysia selamat.

Selain itu, Maritim Malaysia turut membawakan mesej kepada orang ramai bahawa ‘Keselamatan Bukan Untuk Dikompromi’ selari dengan tema yang diangkat Kementerian Dalam Negeri (KDN) sempena penganjuran Persidangan Penganjuran Keselamatan Negara yang bakal diadakan pada 2 September 2024.

350 pegawai lelaki, 15 pegawai wanita bersama 39 orang ahli pasukan pancaragam Maritim Malaysia menyertai perbarisan Hari Kebangsaan Ke-67.

Jelas beliau lagi, penyertaan ini juga mencerminkan semangat patriotisme yang tinggi dalam kalangan anggota Maritim Malaysia yang sentiasa bersedia untuk berkhidmat demi mempertahankan keselamatan perairan negara.

Perbarisan tahun ini turut membabitkan aset Maritim Malaysia iaitu Bot Perkasa 35, Bot Benteng 1, Bot Petir 83, Mobile Surveillance Unit (MSU) serta sebuah aset udara Maritim Malaysia iaitu AS365 N3 Dauphin yang akan turut melakukan flying pass bersama-sama aset udara pasukan keselamatan lain.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button