BERITA SEMASADALAM NEGERI

Tiga penjenayah warga asing terlibat 17 samun ditembak mati

SEPANG – Tiga penjenayah warga asing yang terlibat dalam 17 kes pecah rumah dan samun dengan jumlah kerugian mencecah RM1 juta maut ditembak selepas cuba menyerang polis di kawasan hutan Desa Vista, Sepang, Selangor, awal pagi tadi.

Timbalan Pengarah Operasi/Risikan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, kumpulan penjenayah berkenaan merupakan individu ganas dan aktif melakukan jenayah sejak tahun lalu.

Menurut beliau, kejadian berlaku sekitar pukul 3 pagi ketika tiga suspek berkenaan sedang cuba melakukan samun dan pecah rumah di kawasan terbabit.

Seorang pemilik rumah terdengar bunyi alat penggera keselamatan sebelum menyedari kelibat individu bertopeng.

“Suspek bagaimanapun segera melarikan diri ke kawasan hutan berdekatan. Pemilik rumah kemudian menghubungi polis dan semua elemen polis di lapangan digerakkan ke lokasi bagi menjejaki mereka,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Tambah beliau, tindakan pantas pihak berkuasa berjaya mengesan ketiga-tiga suspek, namun mereka bertindak agresif dan cuba menyerang polis menggunakan parang.

“Bagi mempertahankan diri, pihak polis terpaksa melepaskan tembakan dan kesemua suspek maut di tempat kejadian.

“Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada mereka, namun siasatan awal mendapati mereka berusia antara 35 hingga 40 tahun,” katanya memetik laporan Buletin TV3.

Semakan lanjut mendapati kumpulan penjenayah ini terlibat dalam sekurang-kurangnya 17 kes samun di Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur, dengan jumlah kerugian keseluruhan mencecah RM1 juta.

Mereka juga dipercayai tergolong dalam kumpulan ganas yang tidak teragak-agak mencederakan mangsa yang cuba menghalang kegiatan jenayah mereka.

“Kumpulan ini dipercayai berlima dan pihak polis sedang giat mengesan saki-baki anggota mereka.

“Siasatan mendapati mereka sering pulang ke negara asal selepas melakukan jenayah sebelum kembali semula ke negara ini untuk meneruskan kegiatan mereka,” jelas Fadil.

Beliau turut mendedahkan bahawa dalam salah satu kes samun yang berlaku di Sungai Buloh, mangsa ditetak selepas cuba melawan.

Dalam pada itu, beliau memberi amaran tegas kepada mana-mana individu yang berani melakukan jenayah kekerasan di negara ini.

“Pihak JSJ akan terus memburu mereka sehingga ke lubang cacing. Kami tidak akan berkompromi dalam memastikan keselamatan rakyat terjamin,” katanya.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button