Berita Semasa

Tiga jawatankuasa kabinet di bawah KKM digabungkan – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA – Tiga Jawatankuasa Kabinet di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) akan digabungkan menjadi Jawatankuasa Kabinet Kesihatan Nasional.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiga jawatankuasa terlibat adalah Jawatankuasa Kabinet Menangani Denggi, Jawatankuasa Kabinet Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dan Jawatankuasa Khas Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan Kanak-Kanak.

Tambahnya, penggabungan itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet menangani Denggi Bilangan 1/2025 dipengerusikannya, di sini hari ini.

“Jawatankuasa ini dikenali sebagai Jawatankuasa Kabinet Kesihatan Nasional yang (mesyuaratnya) akan diadakan sebanyak tiga kali setahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berkenaan kes demam denggi, Ahmad Zahid berkata, KKM merekodkan sebanyak 122,423 kes pada tahun lalu, iaitu penurunan kes sebanyak 0.6 peratus.

Namun pada tahun lepas, angka kematian sebanyak 117 kes menunjukkan peningkatan sebanyak 17.0 peratus berbanding tahun 2023.

Katanya, setakat Minggu Epidemiologi ke-04 (25 Januari 2025), secara kumulaitf sebanyak 5,537 kes demam denggi dan tiga kematian direkodkan berbanding 14,458 kes dan sembilan kematian pada tempoh sama tahun 2024 iaitu penurunan kes denggi sebanyak 61.7 peratus dan kematian sebanyak 66.7 peratus.

“Penurunan ini adalah hasil daripada usaha bersepadu pelbagai pihak, termasuk kementerian, jabatan, agensi, sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat, yang berganding bahu memastikan persekitaran sentiasa bebas daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes,” katanya.

Beliau berkata, bagi memperkukuh pelaksanaan langkah pencegahan dan kawalan denggi melalui pendekatan ‘Whole of Nation’ (menyeluruh), beberapa keputusan sudah diputuskan antaranya, semua kementerian, jabatan, agensi perlu memperkukuh inisiatif sedia ada dalam aktiviti pencegahan dan kawalan denggi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button