BERITA SEMASA

Tiga individu ditahan SPRM Kedah terlibat tuntutan palsu tender pembekalan makanan

ALOR SETAR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan reman tiga individu termasuk seorang pengarah urusan syarikat bergelar Datuk kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu bagi tender pembekalan makanan pada tahun 2020.

Kesemua suspek dalam lingkungan 50-an terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita dipercayai membuat tuntutan berjumlah RM48,000 kepada agensi pasukan keselamatan negara untuk pembekalan makanan.

Perintah reman selama dua hari bermula semalam dikeluarkan oleh Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah selepas pihak SPRM membuat permohonan reman.

Menurut sumber, suspek-suspek terbabit ditahan pada pukul 4 hingga 5 petang semalam ketika mereka hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah.

“Suspek utama dipercayai melakukan perbuatan itu antara tahun 2020 hingga 2023 membabitkan tuntutan pembekalan makanan mentah, basah dan kering kepada pasukan keselamatan negara yang bertugas di pos barisan hadapan.

“Dua kakitangan syarikat pembekal turut ditahan kerana disyaki bersubahat dalam menyediakan dan mengemukakan dokumen tuntutan yang dipercayai tidak ada pembekalan dilakukan,” kata sumber tersebut.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Ahmad Nizam Ismail, mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan bahawa kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button