BERITA SEMASA

Tidak logik jadikan Kampung Baru Cina Tapak UNESCO – Veteran UMNO

KUALA LUMPUR – Veteran UMNO menyifatkan cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming untuk berunding bagi mengisytiharkan beberapa kampung baru Cina di Selangor sebagai warisan Tapak Warisan Dunia UNESCO adalah tidak logik dan tidak rasional.

Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, cadangan itu hanya berunsur rasis dan bermotifkan politik kaum.

“Apa yang ada didalam perkampungan itu yang boleh dijadikan nilai sejarah?. Bangunan dan rumah asal sudah tidak ada. Kampung yang diwujudkan dalam tahun 1948 itu sudah banyak berubah.

“Dari segi infrastrukturnya tidak ada langsung nilai sejarah. Kampung yang berumur 76 tahun itu sudah menjadi kampung yang moden. Generasi awalnya sudah tiada. Yang ada adalah generasi anak cucu mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengingatkan, pihak British pada tahun 1948, mewujudkan kampung baru Cina ialah untuk mengasingkan orang Cina daripada menyokong komunis.

“Ianya ada kaitan degan sejarah hitam negara. Jadinya, apakah Kor Ming sengaja membuat cadangan itu sebagai usaha untuk mengekalkan nostalgia sejarah hitam itu?. Ianya amat tidak muasabah.

“Cadangan Kor Ming ini jelas membuktikan dia buta sejarah atau tidak baca sejarah. Atau satu kenyataan rasis bermotif politik kaum. Atau suara sumbang yang sengaja mahu mengeruhkan keharmonian kaum.

“Justeru, Veteran UMNO membantah keras cadangan Kor Ming itu dan mendesak Kerajaan Negeri Selangor supaya tidak melayan sebarang permintaan untuk berunding,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button