BERITA SEMASA

‘Tiada siapa tahu operasi DNB ketika saya ambil portfolio ini’ – Fahmi

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mendedahkan kementeriannya dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) hanya mempunyai kefahaman yang jelas mengenai operasi Digital Nasional Bhd (DNB) setelah beliau mengambil alih portfolio berkenaan.

Jelas beliau, adalah sesuatu yang “mengerikan dan membimbangkan” apabila mendapati tiada sesiapa yang mempunyai pemahaman jelas mengenai aktiviti DNB ketika beliau mula-mula dilantik menerajui kementerian berkenaan.

“Apabila saya mengambil alih… malah Timbalan Ketua Setiausaha (Perbendaharaan) ketika itu pun tidak mempunyai maklumat tentang aktiviti DNB walaupun ia merupakan sebuah syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan),” katanya.

“Tetapi apabila ia di bawah bidang kuasa saya, perkara-perkara seperti itulah yang kami selidiki,” katanya lagi.

Untuk rekod, Fahmi dilantik sebagai menteri pada Disember 2022 bagi menerajui Kementerian Komunikasi dan Digital.

Namun, susulan rombakan kabinet pada 13 Disember tahun lepas, kementerian tersebut dipecahkan kepada Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital.

Fahmi kekal memegang portfolio komunikasi, manakala portfolio digital dipegang Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo.

Fahmi seterusnya memberitahu Parlimen, DNB kini diletakkan di bawah Kementerian Digital, dan tidak adil bagi beliau untuk menjawab persoalan selebihnya berkenaan pengoperasiannya.

Fahmi berkata demikian sebagai jawapan kepada soalan yang dibangkitkan beberapa Ahli Parlimen mengenai bajet DNB dan pelaksanaan rangkaian 5G di Malaysia semasa perbahasan.

Antaranya, Hassan Karim (PH-Pasir Gudang) yang mempersoalkan peruntukan untuk rangkaian 5G pertama dan kedua serta bertanya sama ada benar kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin oleh Muhyiddin Yassin telah memperuntukkan RM16.5 bilion dana awam untuk pelaksanaan 5G pertama DNB.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button