Tiada perlombongan dijalankan di Hutan Simpan Kekal – Johari
KUALA LUMPUR – Tiada aktiviti perlombongan dijalankan di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) ketika ini, tegas Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menjalankan tugas sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Menurut Johari, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) kini mengetuai kajian menyeluruh di Labis bagi menilai kebolehlaksanaan aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE) secara bertanggungjawab di kawasan HSK.
“Setakat ini, belum ada perlombongan dijalankan di HSK. Pasukan saintis dan penyelidik diketuai FRIM sedang membuat kajian untuk melihat aspek yang perlu diteliti sebelum, semasa dan selepas perlombongan.
“Kajian itu penting supaya negara mempunyai garis panduan jelas termasuk prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak isu seperti di Ranau dan Perak pada 1982 daripada berulang,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Dr. Alias Razak (PN-Kuala Nerus) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata, kajian berfasa lima tahun itu bertujuan menyediakan asas saintifik dan teknikal bagi pertimbangan dasar berkaitan larangan perlombongan di HSK, kawasan sensitif alam sekitar serta rizab perlindungan.
Kajian turut melibatkan kerjasama agensi teknikal seperti Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara serta Jabatan Alam Sekitar.
Katanya, enam komponen utama dikaji iaitu hidrologi, tanah, flora, fauna, stok karbon dan sosioekonomi.
“FRIM juga melaksanakan kajian jangka pendek pada 2024 di Mukim Kenering, Perak menggunakan kaedah perlombongan larut lesap atau in-situ leaching.
“Berdasarkan laporan awal, kajian memerlukan lebih masa sebelum sebarang perlombongan berskala besar dapat dijalankan. Data tambahan bagi 2025 sedang dikumpul dan dijangka selesai September untuk pelaporan pada Oktober depan,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








