
Tiada peluang kedua buat penjawat awam yang tolak opsyen SSPA
CYBERJAYA – Penjawat awam yang tidak menandatangani Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) tidak akan diberi peluang kedua atau sebarang tempoh tambahan untuk menerima opsyen berkenaan.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, ini kerana kerajaan telah memberikan satu tempoh yang wajar iaitu dari 21 Okt hingga 30 Nov lepas bagi membuat pilihan sama ada memilih SSPA atau kekal dengan Sistem Saraan Malaysia (SSM).
“Apabila tempoh masa tersebut telah melepasi apa yang ditetapkan, tiada ruang lagi untuk mereka membuat pilihan.
“Jadi mereka perlu berada dalam sistem sedia ada yang menjadi pilihan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir menyaksikan pementasan Teater Perkhidmatan Awam ‘Lara Wirang’ di Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia Malaysia (MMU), di sini malam tadi.
Sebelum ini, media melaporkan hanya 0.13 peratus atau 1,400 orang daripada 1.5 juta penjawat awam tidak menandatangani opsyen SSPA.
“Sebenarnya yang tidak memilih (opsyen SSPA) ini sangat sedikit. Bagi saya, ini sesuatu yang kita tidak dapat elakkan kerana dalam pilihan ini ada yang menerima, ada yang tidak, itu perkara yang lumrah dalam pemilihan,” katanya sambil menambah tiada sebarang tindakan akan diambil terhadap mereka.
Wan Dahlan dalam pada itu turut menzahirkan penghargaan kepada penjawat awam menandatangani opsyen SSPA, malah menikmati kenaikan gaji pertama mereka semalam selepas pelarasan di bawah skim itu.
“Ini menunjukkan apa yang dinyatakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini telah dikotakan,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |