BERITA SEMASA

Tiada pegawai ATM di bawah panji PBB di Sudan

KUALA LUMPUR – Tiada pegawai pemerhati dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas di bawah misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Sudan ketika ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dua pegawai yang sebelum ini yang berkhidmat di bawah misi `United Nations Security Force for Abyei’ (UNISFA) sudah menamatkan misi masing-masing pada September dan bulan ini.

“Kedua-dua pegawai berkenaan kini telah selamat kembali ke tanah air dan melapor untuk tugasan baharu.

“Penempatan pegawai pemerhati ATM sebelum ini adalah di Abyei, kawasan sempadan antara Sudan dan Sudan Selatan, kira-kira 815 kilometer (km) dari lokasi konflik semasa di El Fasher.

“Kementerian Pertahanan mengambil maklum situasi terkini di El Fasher yang melibatkan pertempuran antara Angkatan Tentera Sudan (SAF) dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan jutaan penduduk Sudan, terutama di bahagian barat yang musnah akibat perang saudara terus hidup dalam keadaan terdesak apabila pertempuran dan pembunuhan berterusan di bandar El-Fasher, ibu negeri Darfur Utara.

Walaupun penderitaan orang awam semakin meruncing, SAF dan RSF masih menunjukkan tiada keinginan untuk menghentikan pertempuran. Usaha rundingan gencatan senjata oleh pihak pengantara antarabangsa setakat ini juga gagal menghasilkan sebarang kemajuan.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa keganasan di Sudan dihentikan serta-merta bagi memastikan keselamatan orang awam dipelihara sepenuhnya selaras undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Mohamed Khaled berkata, Malaysia kekal komited untuk terus menyokong usaha keamanan global melalui penugasan pegawai pemerhati ATM di bawah panji PBB apabila keadaan mengizinkan.

“Pihak PBB diyakini akan terus menilai tahap keselamatan di Sudan bagi memastikan setiap penugasan dilaksanakan dalam keadaan yang stabil dan selamat, demi menyokong aspirasi keamanan serta kestabilan serantau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button