
Tiada pampasan RM2 juta diberikan kepada Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman – Menteri Wilayah
KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak memberikan pampasan berjumlah RM 2 juta kepada Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman seperti dakwaan yang tular di media sosial, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berkata, dakwaan tersebut adalah tidak benar sama sekali dan tidak berasas.
“Kerajaan tidak pernah menjanjikan atau meluluskan sebarang bentuk pampasan kepada pihak kuil seperti yang digambarkan. Malahan, tiada sebarang perjanjian atau ‘deal’ lain dibuat selain daripada penyelesaian yang telah saya umumkan secara rasmi semalam.
“Saya ingin menegaskan bahawa keputusan yang diambil adalah hasil perbincangan secara harmoni antara semua pihak yang terlibat dan bersifat menang-menang. Yang paling utama, pembinaan masjid yang telah tertangguh sejak tahun 2020 di atas tanah milik swasta tersebut dapat diteruskan seperti yang dirancang, katanya dalam satu kenyataan hari ini,
Dalam pada itu beliau turutm menegaskan sekali lagi bahawa kes itu tidak boleh dijadikan sebagai rujukan (precedent case) untuk mana-mana kes lain pada masa akan datang.
“Ia adalah penyelesaian khusus kepada isu tersebut, yang ditangani dengan penuh hikmah, mengikut lunas undang-undang dan mempertimbangkan sensitiviti pelbagai pihak.
“Saya menggesa agar semua pihak menghentikan polemik yang tidak berfaedah ini. Janganlah kita mengapi-apikan sentimen agama atau perkauman berdasarkan maklumat yang tidak sahih, kerana ia boleh menggugat keharmonian dan perpaduan yang telah kita bina bersama,” katanya.
Semalam, pihak kuil terbabit bersetuju untuk berpindah di lokasi baharu yang terletak kira-kira 50 meter dari lokasi sedia ada.
Bagaimanapun keputusan itu mencetuskan ketidakpuasan hati beberapa pihak kerana mendakwa kuil tersebut mendapat pampasan dan lokasi baharu secara percuma di atas tanah bernilai tinggi di ibu negara.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |