Tiada NGO dilantik kutip kos rawatan rakyat Palestin
KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah ‘termakan’ dengan kutipan sumbangan bagi membantu membiayai kos rawatan rakyat Palestin yang dibawa pulang ke negara ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya tidak pernah melantik mana-mana pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengutip bantuan bagi tujuan tersebut.
Sebaliknya beliau berkata, sekiranya kerajaan memikirkan wujud keperluan untuk berbuat demikian, orang ramai akan dimaklumkan melalui kenyataan yang rasmi.
“Kita tidak ada menggunakan khidmat mana-mana NGO setakat ini kerana kementerian dan hospital ada buka talian sendiri, ketika ini itulah salurannya.
“Kalau ada pihak yang meminta sumbangan untuk mendapatkan dana membantu rakyat Palestin saya rasa perlu diperiksa dahulu kesahihannya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata demikian selepas merasmikan Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Tahun 2024 di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.
Hadir sama Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad Ab Rahman dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak yang menerima serahan Jalur Gemilang dari Mohamed Khaled sebagai simbolik pelancaran dan seterusnya membuat pelepasan flag off kepada perarakan aset.
Turut hadir Panglima Tentera Udara (TUDM), Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan; Timbalan Panglima Tentera Darat mewakili Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dan Pemangku Panglima Tentera Laut; Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, kos bagi rawatan rakyat Palestin yang dibawa masuk ke negara ini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.
Katanya, orang awam yang menjadi mangsa perang itu kini dalam keadaan baik dan masih menjalani rawatan.
“Kita akan berikan rawatan yang rapi dan sewajarnya. Buat seketika ini mereka dalam keadaan dirawat. Ini akan melibatkan tempoh rawatan yang panjang mengikut jenis-jenis kecederaan.
Jumaat lepas, dua pesawat Airbus A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membawa 41 pesakit dan 86 waris rakyat Palestin melalui Pangkalan Udara Subang, Selangor.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






