Tiada keperluan RCI: AGC pertahan proses pelantikan hakim
PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) tampil mempertahankan proses pelantikan kehakiman di negara ini sambil menolak desakan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berhubung dakwaan wujudnya kepincangan dalam urusan pelantikan tersebut.
Menjawab perkara itu, AGC dalam kenyataan menjelaskan bahawa proses pelantikan Hakim Mahkamah Atasan dilaksanakan menurut Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, iaitu pelantikan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
AGC menegaskan bahawa peranan Perdana Menteri bukan sekadar menjadi ‘pengantara’ atau menerima cadangan daripada pihak lain, sebaliknya memegang kuasa eksklusif untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam hal pelantikan kehakiman.
Meskipun Akta 695 (Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009) menyediakan kerangka pemilihan calon, kuasa muktamad tetap terletak pada Perdana Menteri yang bertanggungjawab memastikan integriti dan kebebasan institusi kehakiman kekal terpelihara.
“Jabatan ini merujuk kepada kenyataan media oleh YB Pandan bersama beberapa ahli Parlimen yang mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan dan Jawatankuasa Pilihan Parlimen berhubung dengan pelantikan dalam badan kehakiman, termasuk jawatan tertinggi dalam institusi tersebut,” katanya kenyataan itu.

AGC turut menegaskan bahawa proses pelantikan hakim perlu dilihat dalam konteks keperluan rundingan dan perjalanan kuasa budi bicara seperti yang digariskan dalam Perlembagaan.
Sebarang usaha mempolitikkan proses ini hanya akan menjejaskan institusi kehakiman serta peranan Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri.
Akhir sekali, AGC menyifatkan dakwaan berhubung ketidakaturan dalam pelantikan hakim ketika ini sebagai tidak berasas dan hanya berpaksikan andaian tanpa bukti yang sahih.
Justeru, jabatan itu menolak sebarang usaha memperbesar-besarkan isu ini menerusi siasatan berprofil tinggi seperti RCI atau jawatankuasa khas Parlimen.
Desakan itu dikemukakan oleh sembilan Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diketuai Datuk Seri Rafizi Ramli, dalam satu sidang media semalam yang mempertikai ketelusan proses mengisi kekosongan jawatan dalam badan kehakiman tertinggi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








