
Tiada keperluan JKPK pantau, kaji keberkesanan SOP mohon warganegara – KDN
KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) berpandangan tiada keperluan Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen bagi memantau dan mengkaji keberkesanan prosedur operasi standard (SOP) permohonan kewarganegaraan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ini kerana Malaysia mengamalkan konsep pemisahan kuasa di antara cabang eksekutif, legislatif dan kehakiman.
“Dalam konteks ini, KDN sebagai cabang eksekutif mempunyai kuasa dalam menggubal dan melaksanakan dasar serta prosedur berkaitan kewarganegaraan.
“Oleh itu, Kementerian berpandangan tiada keperluan khusus untuk JKPK mengawalselia prosedur kewarganegaraan,” kata Saifuddin Nasution di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) mengenai pewujudan prosedur operasi standard (SOP) permohonan kewarganegaraan dan pemantauan terhadap pematuhannya.
Berkenaan SOP dimaksudkan, Saifuddin Nasution berkata, pihaknya telah mengenal pasti 13 perundangan yang berkaitan secara langsung dengan kewarganegaraan yang memerlukan pindaan susulan.
Seiring dengan itu, SOP bagi pemprosesan permohonan kewarganegaraan juga akan dipinda dan diselaraskan agar pelaksanaannya selari dengan pindaan yang telah dibuat.
“(Bagaimanapun) Sebagai langkah proaktif, KDN telah mengeluarkan SOP permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan bagi individu berumur bawah 21 tahun.
Selain itu, pada 30 September 2024, KDN telah mengeluarkan SOP bagi permohonan kewarganegaraan secara naturalisasi di bawah Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan, yang telah berkuat kuasa pada 1 Januari 2025.
“Melalui SOP baharu ini, proses permohonan dan tempoh masa pemprosesan telah ditetapkan selama satu tahun,” katanya lagi.
Beliau kemudiannya berkata, KDN juga sedang merancang untuk menambahbaik SOP di bawah Perkara 15(2) pada tahun ini merangkumi anak-anak warganegara Malaysia berumur di bawah 21 tahun yang tidak dilahirkan sebagai warganegara tetapi layak memohon berdasarkan hubungan kekeluargaan.
“SOP ini dijangka disiapkan pada tahun ini dengan tempoh pemprosesan selama satu tahun,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |