Berita Semasa

Tiada keperluan gubal Akta Anti Diskriminasi Kaum – Aaron

KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara berpandangan tiada keperluan untuk menggubal atau memperkenalkan Akta Anti Diskriminasi Kaum kerana undang-undang sedia ada sudah mencukupi dalam memastikan keharmonian antara kaum terus terpelihara.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, kerajaan lebih menumpukan kepada penguatkuasaan undang-undang sedia ada bagi menangani sebarang bentuk provokasi perkauman atau ucapan kebencian yang boleh menjejaskan perpaduan masyarakat.

“Sesiapa yang dengan sengaja melakukan perbuatan atau mengeluarkan kenyataan yang menggugat perpaduan kaum dan agama boleh disiasat dan didakwa mengikut beberapa akta sedia ada.

‘Antaranya Kanun Keseksaan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta Akta Hasutan 1948 (Akta 15).

“Penguatkuasaan yang telus dan adil tanpa mengira latar belakang etnik, agama dan kelas sosial amat penting bagi memastikan keharmonian terus terpelihara,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Lim Guan Eng yang ingin tahu sama ada kerajaan akan menggubal Akta Anti Diskriminasi Kaum bagi menangani insiden perkauman yang semakin berleluasa, termasuk kes seorang penjaja di Sepang yang didakwa enggan menjual jagung kepada pelanggan India.

Aaron bagaimanapun tidak menolak kemungkinan kerajaan akan membuat kajian semula terhadap undang-undang sedia ada sekiranya diperlukan, terutama bagi mengekang ucapan kebencian atau provokasi perkauman yang boleh memecahbelahkan masyarakat.

“Sekiranya keadaan mendesak, kerajaan akan melihat semula peruntukan undang-undang yang ada supaya tindakan lebih tegas dapat diambil,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Aaron memaklumkan bahawa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) telah digerakkan sebagai orang tengah bagi menyelesaikan insiden membabitkan seorang penjaja di Sepang yang meletakkan papan tanda berunsur perkauman dan enggan menjual jagung kepada pelanggan India.

Menurutnya, satu sesi permohonan maaf telah diadakan di sebuah restoran di Sepang dengan kehadiran wakil masyarakat India, pempengaruh, wakil penduduk, pegawai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) serta pihak polis.

“Kementerian sentiasa memantau dan memastikan setiap isu berkaitan perpaduan kaum dapat diselesaikan dengan baik agar keharmonian masyarakat terus terpelihara,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button