
Tiada kenaikan bil air buat pengguna di Sabah
KOTA KINABALU – Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) tidak akan menaikkan kadar tarif air sedia ada.
Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, tiada cadangan untuk menaikkan kadar berkenaan, walaupun tarif air di Semenanjung dan Labuan akan dinaikkan mulai bulan depan.
“Sabah belum ada cadangan menaikkan tarif air lagi buat masa ini,” katanya dalam laporan BH Online, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengenai kenaikan tarif air di Semenanjung dan Labuan dengan purata 22 sen bagi setiap meter padu berkuat kuasa 1 Februari depan.
Ketika ini, pengguna domestik individu di Sabah dikenakan tarif serendah 30 sen bagi setiap meter padu air untuk penggunaan sehingga 10 meter padu.
Kadar tertinggi tarif air pengguna domestik individu di Sabah ialah RM1.80 satu meter padu bagi penggunaan yang melebihi 60 meter padu.
Selain itu, pengguna di kawasan pangsapuri atau kondominium yang dilengkapi fasiliti pukal pula dikenakan RM1.30 bagi setiap meter padu, manakala 90 sen satu meter padu bagi yang tiada fasiliti pukal.
Difahamkan tiada perubahan tarif air di Sabah sejak puluhan tahun lalu.
Pada masa ini, Sabah masih berdepan masalah air berikutan ketidakcukupan bekalan hingga menyebabkan berlaku gangguan yang kerap di kebanyakan kawasan, termasuk di ibu negeri.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |