BERITA SEMASA

Tiada kelulusan khas bagi Program RTK 2.0 – KP Imigresen

CYBERJAYA – Jabatan Imigresen (JIM) menafikan pihaknya mengeluarkan kelulusan khas bagi pemohon Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK 2.0) bagi pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini selepas tarikh 31 Disember 2022.

Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh berkata, sebelum ini dakwaan itu menjadi tular apabila satu rakaman suara disebarkan menerusi applikasi WhatsApp.

“Rakaman suara yang tular itu mendakwa terdapat kelulusan khas akan diberikan hanya kepada 5,000 pemohon yang memasuki negara ini pada tahun 2023.

“JIM sekali lagi menafikan sekeras-kerasnya dakwaan ini dan memohon supaya orang ramai tidak terpedaya dengan taktik penipuan ejen atau orang tengah seumpama ini,” kata Ruslin dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Beliau menambah, kelulusan itu tidak akan dilaksanakan lagi ia melanggar dasar yang telah ditetapkan oleh kerajaan semasa pelancaran program RTK 2.0 pada 27 Januari 2023.

“Dasar adalah jelas bahawa hanya warga asing yang menjadi PATI di negara ini sehingga 31 Disember 2022 sahaja yang layak dan akan dipertimbangkan kelulusan RTK 2.0,” kata Ruslin.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan dalam kalangan masyarakat.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat yang tepat dan terkini mengenai JIM boleh melayari portal rasmi Imigresen atau akaun media sosial rasminya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button