BERITA SEMASA

Tiada kapal Global Sumud Flotilla tarik diri, hanya sabotaj dan rombakan armada

KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al Nuri Kamaruzzaman menegaskan, tiada kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang menarik diri daripada meneruskan pelayaran ke Gaza.

Beliau berkongsi perkara tersebut menerusi satu hantaran di Facebook sebentar tadi, sekali gus menepis laporan yang tular mengenai khabar itu.

“Tak ada kapal GSF tarik diri. Cuma ada yang tak dapat belayar kerana rosak disabotaj. Indonesia pula tarik diri untuk beri ruang kepada delegasi lain sejak di Tunisia lagi,” jelas Nadir yang mengetuai pasukan Sumud Nusantara.

Beliau turut berkongsi perkembangan positif dengan memperkenalkan sebuah bot baharu yang akan bersama-sama armada lain di perairan Greece.

Global Sumud Flotilla
Nadir ketika berucap pada majlis pelepasan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla di Barcelona, Sepanyol pada 31 Ogos lalu.

“Memperkenalkan kepada kalian, bot baru kita yang sedang memecut ke Greece untuk bersama baki armada iaitu Jong Melayu! Kalian kena baca sejarah Jong ni, pasti teruja,” katanya menerusi satu hantaran berbeza.

Dalam masa sama, Nadir memaklumkan bahawa walaupun ada kapal yang mengalami kerosakan, tidak ada mana-mana peserta yang menarik diri daripada misi berkenaan walaupun diberi peluang oleh ketua armada.

“Semua tetap mahu meneruskan perjuangan walaupun terpaksa berpindah ke kapal lain,” katanya lagi.

Perkongsian Nadir itu mendapat perhatian ramai rakyat Malaysia yang setia mengikuti perkembangan misi pelayaran tersebut dengan iringan doa.

“Terima kasih sebab sebarkan info yang sahih. Saya pun macam tak percaya dengar berita ada kapal tarik diri.

“Dah sampai sejauh itu kalian belayar pun kan? Mesti ada sebab lain. Semoga kalian terus kuat dan bersemangat demi membantu saudara seIslammu. Usaha kalian diberkati dan dilindungi Allah sentiasa. Amin Ya Rabb, Ya Mujib,” komen Tuah Eton Zainal.

Sementara itu, Salwa Ali turut menzahirkan rasa kagum dengan semangat peserta flotila:

“Dan tidak ada mana-mana peserta dari kapal rosak yang tarik diri walaupun diberi peluang oleh ketua armada. Semua nak teruskan walau kena pindah ke kapal-kapal lain. Respect,” tulisnya.

Terdahulu, media melaporkan beberapa bot yang menyertai misi kemanusiaan GSF terpaksa menghentikan pelayaran ke perairan Gaza semalam bagi membolehkan rombakan besar dilakukan selepas beberapa kapten dan pembantu dikatakan menarik diri daripada misi itu.

Perkara itu disahkan Pengarah Media Muslim Care Malaysia, Tuan Asri Tuan Hussein yang turut serta dalam flotila berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button