
Tiada jemaah terkandas – Andalusia
KUALA LUMPUR – Syarikat pelancongan umrah terkemuka, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., menegaskan tiada jemaah di bawah pengurusannya yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sekali gus menafikan laporan yang mendakwa wujud insiden sedemikian semalam.
Penegasan itu dibuat susulan laporan sebuah media tempatan yang memberi gambaran seolah-olah terdapat jemaah Andalusia yang terkandas akibat isu penerbangan.
“Kami ingin menjelaskan bahawa tiada seorang pun jemaah di bawah pengurusan Andalusia yang terkandas seperti didakwa.
“Laporan tersebut tidak menggambarkan keadaan sebenar,” menurut kenyataan rasmi syarikat itu semalam.
Menurut Andalusia, penerbangan jemaah yang dijadualkan menaiki pesawat Qatar Airways QR845 hanya mengalami penjadualan semula (retime) atas faktor teknikal membabitkan laluan ruang udara dan bukannya pembatalan atau isu teknikal melibatkan syarikat pengendali jemaah.
“Penerbangan asal pada pukul 9.30 pagi semalam telah dijadualkan semula dan semua jemaah telah berlepas dengan selamat pada pukul 2.55 pagi hari ini,” kata kenyataan itu.
Sepanjang proses penjadualan semula, semua 22 jemaah yang terlibat berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kesulitan, malah mereka diberi penginapan sementara, makanan serta sokongan logistik oleh pasukan petugas Andalusia.
“Kami mengambil langkah proaktif memastikan keselesaan dan kebajikan jemaah sentiasa diutamakan,” jelas syarikat itu lagi.
Perkembangan itu turut disahkan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Doha, yang menyatakan bahawa ruang udara Qatar telah kembali beroperasi seperti biasa dan semua penerbangan berjalan lancar tertakluk kepada pengesahan semasa oleh syarikat penerbangan.
Andalusia menyambut baik perkembangan berkenaan dan memberi jaminan bahawa pihaknya akan terus bekerjasama dengan semua agensi berkaitan, termasuk Kementerian Pelancongan, SKMM dan pihak penerbangan bagi memastikan perjalanan ibadah umrah berjalan lancar.
Dalam pada itu, syarikat itu menasihatkan media agar menyemak dan mendapatkan pengesahan rasmi terlebih dahulu sebelum menyiarkan sebarang laporan melibatkan jemaah dan hal-hal berkaitan ibadah.
“Pihak media perlu berhati-hati dalam menyampaikan maklumat agar tidak menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat,” tegas kenyataan tersebut.
Andalusia menyeru orang ramai yang memerlukan penjelasan atau maklumat lanjut untuk terus menghubungi talian hotline rasmi di 03-9283 1588.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |