BERITA SEMASAPMX

Tiada dana syarikat digunakan taja lawatan ke luar negara – PM Anwar

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada dana sebarang syarikat digunakan bagi membiayai lawatan kerjanya ke empat negara sebelum ini.

Beliau menjelaskan, kerajaan membelanjakan sebanyak RM1.6 juta yang menggunakan dana kerajaan bagi menampung kos penerbangan delegasi.

“Saya tidak guna dana syarikat swasta. Kerajaan guna penerbangan MAS (Malaysia Airlines) untuk lawatan empat negara dengan kos RM1.6 juta. Ini guna wang kerajaan sepenuhnya.

“Baki tempat duduk (dalam pesawat) ditawarkan kepada syarikat swasta yang sememangnya akan pergi ke negara-negara terbabit untuk tujuan pelaburan atau usaha sama,” katanya dalam satu hantaran di akaun menerusi Facebook beliau, hari ini.

Anwar kemudiannya menjelaskan, syarikat swasta yang menyertai delegasi tersebut turut membayar kos masing-masing berjumlah RM4.5 juta.

“Jika guna jet eksekutif kerajaan, kos perlu ditanggung kerajaan adalah RM2.5 juta untuk empat negara. Namun dengan perkongsian ini, kos untuk kerajaan hanya RM1.6 juta.

“Saya ulang, kerajaan tidak guna dana syarikat swasta. Tiada perselisihan kepentingan. Usah terperangkap dalam fitnah zaman edan,” katanya.

Anwar sewaktu sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat minggu lalu memaklumkan, kos sekitar 70 hingga 80 peratus yang dibelanjakan membabitkan perjalanan dan lawatan rasminya ke empat negara dibayar oleh syarikat swasta yang turut mengikuti urusan itu.

Beliau berkata, ia adalah pendekatan lain di bawah pentadbirannya untuk memastikan perbelanjaan bagi membiayai lawatan rasmi ke luar negara diuruskan dengan secekap mungkin.

Kenyataan Anwar itu menimbulkan bantahan serta kritikan daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin pembangkang, yang mendakwa kemungkinan wujud perselisihan kepentingan diatas pembiayaan oleh syarikat swasta itu.

Rabu lalu, Anwar selamat tiba di tanah air hari ini selepas mengadakan lawatan ke Mesir, Arab Saudi, Peru dan Brazil bermula 9 November lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button