
Tiada dalil kata Saidatina Khadijah dari Tanah Melayu
CYBERJAYA – Tiada sebarang dalil khusus yang menyebut isteri baginda Rasulullah SAW, Saidatina Khadijah binti Khuwailid berasal dari Tanah Melayu.
Bekas Mufti Wilayah Persekutuan (WP), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri dalam satu catatan beliau menyebut, Ummul Mukminin Ummu al-Qasim Khadijah binti Khuwailid bin Asad bin ‘Abd al-‘Uzza bin Qusai bin Kilab al-Qurasyiyyah al-Asadiyyah, manakala ibunya bernama Fatimah binti Za’idah al-‘Amiriyyah, merupakan ibu kepada anak-anak Rasulullah SAW.
“(Saidatina Khadijah) orang pertama beriman dengannya dan yang membenarkannya sebelum sesiapapun. Beliau juga ialah orang yang menenangkan Baginda ketika dalam ketakutan dan membawanya berjumpa sepupunya iaitu Waraqah.
“Selain itu, beliau juga adalah salah seorang wanita yang paling sempurna, berakal (bijak), mulia (bermaruah), beragama, suci, pemurah, dan termasuk dalam kalangan ahli syurga. Bahkan Nabi SAW selalu memujinya, menyebut kelebihan dan kebaikannya berbanding Ummul Mukminin yang lain serta berlebihan dalam memuliakannya,” kata Dr Zulkifli berdasarkan rujukan beliau pada kitab Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/109-110.
Selain itu, kata Dr Zulkifli, Saidatina Khadijah juga merupakan salah seorang daripada empat penghulu wanita ahli syurga.
Menurut riwayat Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Penghulu wanita ahli syurga empat orang: Maryam binti Imran, Fatimah binti Rasulillah, Khadijah binti Khuwailid dan Asiah.”
Isu ini timbul apabila baru-baru ini muncul satu klip video yang memaparkan seorang ilmuwan mendakwa, Saidatina Khadijah berasal dari Tanah Melayu.
Dakwaan tersebut menimbulkan pelbagai komen netizen sehingga ilmuwan tersebut kembali muncul mendakwa video asal tersebut sebenarnya sudah disunting bagi memburukkannya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |