
Thaipusam: KTMB tawar dua hari tambang percuma, operasi dilanjut 24 jam
BATU CAVES – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan tambang percuma selama dua hari bagi perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang sempena sambutan Thaipusam bermula 10 Februari ini.
Selain itu, KTMB turut memperluaskan perkhidmatan KTM Komuter kepada 24 jam sehari selama empat hari bermula 9 Februari.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, inisiatif itu bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam secara meluas sepanjang tempoh sambutan perayaan tersebut.
“Antara inisiatif utama ialah pemberian tambang percuma untuk semua perkhidmatan KTM Komuter di Lembah Klang yang bermula dari pukul 12.00 tengah malam hingga 11.59 malam untuk kedua-dua hari bermula 10 Februari.
“Penumpang hanya perlu membuat imbasan keluar (check-out) di pintu automatik (ACG) tanpa sebarang caj,” katanya di sini hari ini.
Menurut Anthony, semua transaksi kini dilakukan secara tanpa tunai, yang mana penumpang boleh menggunakan aplikasi KTMB Mobile (KITS), Kad Komuter Link, Kad Touch ‘N Go, kad debit atau kredit serta tiket QR fizikal yang boleh diperoleh secara percuma di kaunter tiket untuk tempoh tersebut.
“Selain itu, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak berusia dua hingga enam tahun terus menikmati diskaun 50 peratus seperti biasa, manakala kanak-kanak di bawah dua tahun tidak dikenakan tambang.
“Kita jangkakan seramai 500,000 pengguna akan memanfaatkan inisiatif itu dengan peningkatan 10 peratus berbanding tahun lalu,” katanya lagi.
Beliau berkata, bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan tumpuan, Prasarana Malaysia Berhad turut menyediakan 30 buah bas pengantara percuma dari Hab Bandar Pasar Seni, LRT Gombak dan MRT Kampung Batu ke Batu Caves dengan kekerapan setiap 10 minit pada 10 dan 11 Februari.
Di Pulau Pinang pula, RapidPenang menyediakan 12 buah bas percuma yang beroperasi dari jeti perkhidmatan feri ke Adventist dengan kekerapan antara 20 hingga 60 minit, bergantung kepada keperluan.
Selain itu, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Penang Port Sdn Bhd turut menyediakan perkhidmatan feri percuma selama 24 jam pada 10 dan 11 Februari, dengan lanjutan operasi sehingga pukul 2.30 pagi pada 12 Februari bagi menampung keperluan pengguna yang dijangka meningkat.
Di Johor Bahru, Seremban dan Ipoh, pengendali BAS.MY juga mengambil inisiatif menyediakan perkhidmatan bas percuma.
“Di Johor Bahru, sebanyak 10 laluan sedia ada menghubungkan lokasi kuil utama seperti Kuil Arulmigu Sri Muniswarar Ulu Tiram dan Kuil Sri Subramaniar Masai,” katanya.
Sementara itu, di Seremban, perkhidmatan bas percuma disediakan berhampiran Kuil Sri Balathandayuthapani, manakala di Ipoh terdapat laluan khas dari Medan Kidd ke Kuil Sri Subramaniar di Gunung Cheroh.
Secara keseluruhan, sebanyak 145 buah bas akan digunakan bagi memastikan kelancaran perkhidmatan di lokasi-lokasi tersebut.
Selain perkhidmatan percuma, KTMB turut menyediakan perkhidmatan tren tambahan yang akan beroperasi selama 24 jam bermula dari 9 hingga 12 Februari 2025.
Sebanyak 118 trip tambahan disediakan sepanjang tempoh itu menjadikan jumlah keseluruhan 494 trip.
Laluan yang terlibat merangkumi Batu Caves–Pulau Sebang, Batu Caves–Pelabuhan Klang, dan KL Sentral–Batu Caves.
Perkhidmatan tren tambahan itu akan bermula selepas tren terakhir setiap hari dengan kekerapan tren setiap 30 minit, berbanding satu jam pada hari biasa.
Bagi memastikan kelancaran operasi, KTMB menempatkan seramai 250 kakitangan bertugas termasuk anggota Polis Bantuan untuk mengawal selia pergerakan penumpang serta memastikan keselamatan di stesen-stesen utama.
Anthony turut menggesa orang ramai agar merancang perjalanan mereka dengan lebih awal dan memberikan kerjasama penuh kepada petugas yang bertugas sepanjang tempoh sambutan Thaipusam 2025.
“Kita berharap dengan adanya pelbagai kemudahan pengangkutan awam percuma ini, sambutan Thaipusam tahun ini dapat diraikan dengan lebih lancar, selamat dan penuh bermakna,” tambah beliau.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |