BERITA SEMASALUAR NEGARA

Thailand tutup sempadan utama dengan Kemboja

BANGOK – Thailand hari ini menutup sementara sempadan darat utamanya dengan Kemboja sebagai langkah keselamatan dan kedaulatan negara susulan ketegangan yang berlaku antara kedua-dua negara.

Langkah itu diumumkan oleh Tentera Diraja Thai melalui satu kenyataan rasmi.

Penutupan itu melibatkan lintasan Aranyaprathet di tenggara Thailand dan Poipet di barat Kemboja, yang merupakan laluan paling sibuk antara kedua-dua negara dengan ribuan orang menggunakannya setiap hari.

Menurut tentera Thailand, larangan khusus dikenakan terhadap kenderaan berat, terutama trak beroda enam, daripada melintasi sempadan tersebut.

Selain itu, waktu operasi di lintasan tersebut turut dikurangkan dan hanya rakyat Thailand dan Kemboja yang mempunyai urusan kerja atau aktiviti perdagangan dibenarkan untuk menyeberangi sempadan.

Pelancong tempatan tidak lagi dibenarkan masuk atau keluar melalui laluan itu buat sementara waktu.

Kenyataan Tentera Diraja Thai kepada agensi berita antarabangsa menjelaskan bahawa sekatan itu hanya terpakai kepada warganegara kedua-dua negara dan tidak melibatkan pelancong asing.

Walau bagaimanapun, pelaksanaan sekatan tersebut mungkin berbeza-beza mengikut lokasi sempadan lain, bergantung kepada pertimbangan pihak berkuasa setempat.

Dalam masa yang sama, enam pusat pemeriksaan sempadan lain turut mengetatkan waktu operasi, namun perdagangan rentas sempadan kekal dibenarkan.

Pekerja dari Kemboja dilaporkan masih boleh memasuki Thailand untuk tujuan bekerja seperti biasa, tanpa sekatan tambahan setakat ini.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Thailand, Phumtham Wechayachai, menyatakan rasa kesal terhadap keputusan Kemboja yang enggan menarik balik pasukan tenteranya daripada kawasan sempadan selepas berlakunya insiden pada 28 Mei lalu.

Beliau menegaskan bahawa tindakan Thailand ini adalah demi memastikan keselamatan dan kestabilan di kawasan bersempadan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button