Tertekan pedal minyak, kereta rempuh kedai makan di Rembau
REMBAU – Suasana pagi yang tenang di sebuah kedai makan di sini bertukar kecoh apabila sebuah kereta secara tiba-tiba meluncur masuk ke premis tersebut selepas pemandunya dipercayai tersilap menekan pedal minyak.
Kejadian berlaku sekitar pukul 10 pagi semalam ketika beberapa pelanggan sedang menikmati minuman pagi mereka.
Melalui satu video yang tular, sebuah kereta Proton Persona dirakam melanggar bahagian dapur kedai berkenaan.

Menurut pemilik kedai, Fadhlina Abdullah, insiden itu hampir mengundang kecederaan sekiranya tiga kumpulan pelanggan yang baru sahaja meninggalkan meja masih di situ.
“Syukur, tiada sesiapa yang cedera. Kalau pelanggan masih duduk di situ, mungkin lain jadinya. Memang Allah lindungi,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Kereta yang dipandu seorang wanita itu dipercayai hilang kawalan akibat tersilap menekan pedal minyak sehingga meluncur dan merempuh bahagian depan kedai.
Akibat pelanggaran tersebut, sebahagian struktur di dalam kedai mengalami kerosakan dan memerlukan pembaikan.
Tambah Fadhlina lagi, pemandu terbabit telah tampil memohon maaf atas insiden yang berlaku dan berjanji untuk bertanggungjawab terhadap kerosakan yang dialami.
“Ini sedikit ujian dari Allah dan saya anggap ia sebagai hikmah. Yang penting, nyawa semua selamat,” ujarnya.
Pihak berkuasa difahamkan telah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut namun tiada laporan kecederaan atau kehilangan jiwa dibuat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







