BERITA SEMASA

Bekalan ternakan Hari Raya Aidiladha djangka mencukupi – KPKM

PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menjangkakan bekalan ternakan bagi tujuan ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha adalah mencukupi untuk memenuhi keperluan di seluruh negara.

Menurut KPKM, jangkaan tersebut adalah berdasarkan unjuran bekalan semasa dan permintaan dijangka yang diperoleh daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) sehingga Mac 2025.

Statistik menunjukkan sebanyak 38,804 ekor lembu dan kerbau akan tersedia bagi tujuan korban, yang merangkumi 35,581 ekor daripada stok tempatan dan 3,223 ekor daripada sumber import.

Bagi kambing dan bebiri pula, jumlah keseluruhan bekalan dijangka mencecah 30,167 ekor, dengan 26,845 ekor adalah ternakan tempatan dan 3,322 ekor dari import.

“Anggaran permintaan untuk sambutan Aidiladha tahun ini adalah sekitar 34,451 ekor lembu/kerbau dan 22,453 ekor kambing/bebiri, menjadikan keseluruhan bekalan dijangka mencukupi untuk menampung keperluan ibadah korban di seluruh negara.

“Selain itu, sebanyak 27 buah rumah sembelih milik DVS di Semenanjung Malaysia akan bersedia beroperasi bagi penyembelihan ternakan korban,” kata KPKM dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, 40 buah rumah sembelih swasta yang berlesen turut dibenarkan untuk menjalankan penyembelihan korban sepanjang musim perayaan.

Bagi penyembelihan yang dijalankan di luar rumah sembelih seperti di masjid, sekolah, taman perumahan dan tempat awam, DVS memaklumkan bahawa pemohon perlu mendapatkan permit penyembelihan luar dengan mengemukakan dokumen berkaitan bagi tujuan kelulusan.

KPKM turut menasihatkan orang ramai serta penganjur aktiviti korban supaya merujuk kepada Garis Panduan Penyembelihan Ternakan Korban** yang disediakan oleh DVS sebagai rujukan asas pelaksanaan yang selamat, bersih dan mematuhi syariah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button