BERITA SEMASA

Terengganu larang busking 10 malam terakhir Ramadan, ketatkan syarat persembahan jalanan

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu mengumumkan larangan sepenuhnya aktiviti persembahan jalanan atau busking sepanjang 10 malam terakhir Ramadan di semua kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) setiap daerah bagi memelihara ketenteraman dan kesucian bulan ibadah itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, keputusan tersebut dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan menerusi sesi libat urus yang diadakan pada 12 Januari lalu.

“Bagi tempoh selain 10 malam terakhir Ramadan, aktiviti busking masih dibenarkan tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh PBT masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, antara syarat utama yang digariskan termasuk waktu persembahan hanya dibenarkan dari pukul 9.30 malam hingga 12 tengah malam, manakala lokasi persembahan mestilah berada pada jarak melebihi 500 meter dari masjid dan surau.

Selain itu, hanya persembahan berbentuk ketuhanan seperti nasyid dan seumpamanya serta lagu raya sahaja dibenarkan sepanjang Ramadan.

Wan Sukairi berkata, penetapan garis panduan itu bertujuan memastikan keharmonian, keselamatan serta keselesaan masyarakat terus terpelihara sepanjang bulan suci berkenaan.

Beliau turut menegaskan bahawa PBT tidak dibenarkan mengenakan caj yang tinggi kepada penggiat busking yang mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button