
Iran dakwa simpanan uranium tidak terjejas dalam serangan AS
ISTANBUL – Iran menegaskan simpanan uranium yang diperkaya kekal selamat dan tidak terjejas meskipun fasiliti nuklear utama negara itu diserang Amerika Syarikat (AS) semalam.
Penasihat kanan kepada Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei, Ali Shamkhani berkata, kemusnahan fizikal tapak tidak bermaksud kekuatan nuklear negara turut musnah.
“Bahan diperkaya, pengetahuan tempatan dan tekad politik masih ada. Kini, inisiatif berada di tangan pihak yang bertindak dengan bijak dan bukan secara melulu. Kejutan susulan akan menyusul,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Menurut laporan media Iran, ketiga-tiga kemudahan yang menjadi sasaran Fordo, Natanz dan Isfahan dikosongkan lebih awal sebagai langkah berjaga-jaga.
“Bahan nuklear sensitif turut dipindahkan ke lokasi rahsia yang lebih selamat,” ujarnya.
Saluran penyiaran rasmi Iran, Islamic Republic of Iran Broadcasting (IRIB), mengesahkan pemindahan itu, namun tidak mendedahkan sebarang perincian lanjut mengenai lokasi atau jumlah bahan yang dipindahkan.
Terdahulu, Presiden AS, Donald Trump mengesahkan tentera negara itu melancarkan serangan bersasar ke atas tiga kemudahan nuklear terbabit.
Enam bom penembus kubu dilaporkan digugurkan ke atas fasiliti bawah tanah di Fordo oleh pesawat pengebom B-2.
Serangan turut disokong dengan pelancaran puluhan peluru berpandu dari kapal selam AS, yang menyasarkan kemudahan di Natanz dan Isfahan.
Serangan itu merupakan sebahagian daripada siri tindakan ketenteraan AS selepas konflik bermula sejak 13 Jun lalu sebagai sokongan kepada kempen ketenteraan Israel terhadap Iran.
Ketegangan antara kedua-dua negara memuncak susulan tindakan balas oleh Tehran ke atas beberapa sasaran di wilayah Israel yang meningkatkan kebimbangan terhadap potensi konflik berskala lebih besar di rantau Asia Barat.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |