
Iran beri amaran, pangkalan AS bakal jadi sasaran
TEHRAN – Iran mengeluarkan amaran akan menyerang pangkalan Amerika Syarikat (AS) susulan serangan udara tentera negara proksi Israel itu ke atas kemudahan nuklearnya semalam.
Menurut penasihat kepada Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei, Ali Akbar Velayati, pangkalan tentera AS itu termasuk negara yang terlibat secara tidak langsung boleh menjadi sasaran tindakan balas.
“AS telah menyerang pusat dunia Islam. Mereka harus bersedia berdepan akibat yang tidak boleh diperbaiki.
“Mana-mana negara yang membenarkan wilayahnya digunakan untuk melancarkan serangan terhadap Iran akan dianggap sebagai sasaran ketenteraan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam serangan semalam, AS menyasarkan tiga tapak utama iaitu Fordow, Isfahan dan Natanz, yang dikenal pasti sebagai pusat penting dalam pembangunan nuklear Iran
Menerusi hantaran media sosial Presiden AS, Donald Trump menyifatkan serangan itu sebagai satu kejayaan ketenteraan yang besar.
Trump bagaimanapun menafikan AS mempunyai niat rasmi untuk menukar kepimpinan Iran, namun kenyataannya mencetuskan spekulasi mengenai agenda sebenar pentadbirannya.
“Istilah ‘perubahan rejim’ mungkin tidak sesuai digunakan. Tapi jika ini gagal menjadikan negara mereka hebat semula, mengapa tidak?” ujarnya.
Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth dalam taklimat di Pentagon memaklumkan operasi itu tidak menyasarkan rakyat atau pasukan tentera Iran, sebaliknya tertumpu sepenuhnya kepada infrastruktur nuklear.
Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, operasi ketenteraan negaranya akan dihentikan hanya selepas keupayaan nuklear dan peluru berpandu Iran berjaya dilumpuhkan sepenuhnya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |