
Tawar pelbagai khidmat imigresen secara haram, 4 warga Bangladesh ditahan
PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan empat lelaki warga Bangladesh yang dipercayai terlibat dalam sindiket perkhidmatan imigresen haram dalam satu operasi khas pada 12 dan 13 Mac lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi yang dijalankan di empat lokasi sekitar Kuala Lumpur dan tiga lokasi di Bandar Bukit Raja, Selangor itu melibatkan pasukan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
“Bertindak atas maklumat awam dan risikan selama dua minggu, pasukan operasi berjaya menahan empat lelaki warga Bangladesh berusia antara 22 hingga 38 tahun.
“Semakan mendapati dua daripada mereka memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dalam sektor pembinaan, manakala dua lagi telah tinggal lebih masa di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pemeriksaan lanjut ke atas premis yang diserbu membawa kepada rampasan 134 pasport pelbagai negara, termasuk 117 pasport Bangladesh, empat pasport Nepal, enam pasport Myanmar, enam pasport Indonesia dan satu pasport India.

Turut dirampas ialah empat unit telefon bimbit, satu komputer riba serta wang tunai berjumlah RM69,380.
Menurut Zakaria, modus operandi sindiket ini adalah menawarkan perkhidmatan imigresen secara haram kepada warga asing, khususnya dari Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan Nepal yang telah tinggal lebih masa atau tamat PLKS.
Mereka menawarkan perkhidmatan pemprosesan Pas Khas secara tidak sah dengan bayaran antara RM2,000 hingga RM2,500 setiap permohonan serta pengubahsuaian ePASS bagi membolehkan pelanggan mereka terus tinggal di Malaysia.
“Sindiket ini dipercayai telah beroperasi sejak setahun lalu dan pihak berkuasa turut menyita dua kenderaan jenis Perodua Ativa dan Perodua Alza bagi siasatan lanjut,” katanya.
Kesemua suspek warga Bangladesh ditahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan Seksyen 56(1A)(a) Akta Imigresen 1959/63. Seorang wanita warga Malaysia dan tiga lagi lelaki warga Bangladesh turut diberi notis untuk hadir ke Pejabat Imigresen bagi membantu siasatan.
Jabatan Imigresen menegaskan bahawa pihaknya akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 bagi memastikan keselamatan dan kestabilan negara terpelihara.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |