Tarif AS : Malaysia kekal berunding secara konstruktif
KUALA LUMPUR – Meskipun dikenakan kenaikan tarif sehingga 25 peratus oleh Amerika Syarikat (AS), Malaysia menegaskan rundingan timbal balas masih berjalan dan tidak boleh dianggap gagal.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, proses rundingan dan libat urus bersama Wakil Perdagangan AS masih diteruskan secara konstruktif.
“Ini bukanlah soal rundingan telah gagal. Ini juga bukan soal bahawa Malaysia atau dunia sedang berdepan dengan krisis.
“Namun, seperti dalam semua rundingan, mesyuarat dan platform, kita terus memperkukuh pendirian bahawa kita menyokong prinsip multilateralisme.
“Kita percaya kepada sistem perdagangan berasaskan peraturan, dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) sebagai terasnya. Ini adalah perkara utama.
“Pada masa sama, sepanjang rundingan ini, penting untuk dinyatakan bahawa Malaysia terus bersikap berkecuali dalam pendekatannya.
“ASEAN juga begitu. Kita percaya kepada pendirian berkecuali ASEAN dan kita akan terus berinteraksi dengan semua pihak,” katanya pada sidang media di acara Reuters NEXT Asia yang diadakan di Singapura.
Dalam masa yang sama, Malaysia turut mengekalkan keyakinan terhadap hasil rundingan, terutamanya dengan memberi tumpuan kepada sektor tertentu yang boleh membawa manfaat bersama.
“Saya optimistik, terutama dengan sektor yang saya rasa mempunyai faktor menang-menang dan saling melengkapi.
“Malaysia ialah penggiat utama sektor semikonduktor, yang menyokong rantaian bekalan untuk ekosistem semikonduktor Amerika Syarikat. Jadi, kita perlu teruskan rundingan ini,” katanya.
Menurut beliau, perbincangan awal telah diadakan bersama Wakil Perdagangan AS dan kedua-dua pihak bersetuju untuk meneruskan rundingan memandangkan tempoh penangguhan tarif masih berlangsung sehingga 1 Ogos.
“Sudah tentu, ada cabaran, dan ada isu-isu yang masih perlu diselesaikan. Banyak yang telah berjaya diselesaikan tetapi malangnya tidak mengikut garis masa yang ditetapkan…dengan pengumuman oleh (Presiden AS Donald) Trump, kami mempunyai beberapa minggu lagi untuk berunding mengenai terma akhir,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








