BERITA SEMASADALAM NEGERI

Tanah runtuh di TTDI: Tembok sekolah, 2 kenderaan terjejas

KUALA LUMPUR – Sebuah sekolah antarabangsa di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini gempar apabila tembok batu roboh akibat kejadian tanah runtuh, sekali gus menjejaskan beberapa struktur bangunan dan kenderaan, pagi ini.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada jam 7.18 pagi tadi menerusi sistem MERS999.

Menurut kenyataan JBPM, seramai 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) TTDI serta BBP Sri Hartamas digerakkan ke lokasi bersama dua jentera, iaitu Fire Rescue Tender (FRT) dan Emergency Medical Rescue Services (EMRS).

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Azkhan Hamdan berkata, siasatan awal mendapati runtuhan itu berpunca daripada kejadian tanah runtuh yang berlaku berhampiran kawasan sekolah.

“Sebaik tiba, anggota bomba menjalankan penilaian awal bagi memastikan keadaan persekitaran selamat sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya memetik laporan Buletin TV3.

Beliau turut memaklumkan bahawa runtuhan itu turut merosakkan dua buah kenderaan serta beberapa struktur penting dalam bangunan sekolah termasuk bilik darjah, bilik guru, tandas dan perpustakaan.

Bagaimanapun, operasi berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 7.55 pagi dan tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan.

Pihak bomba sedang menjalankan pemantauan susulan bagi memastikan tiada risiko tambahan berlaku dan keselamatan semua penghuni kawasan terbabit terjamin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button