TalentCorp, MyDIGITAL lancar Majlis AI Kebangsaan MyMahir
Sebuah kerjasama strategik untuk menyelaras pembangunan bakat AI dengan keperluan industri sebenar
PETALING JAYA – Majlis AI Kebangsaan MyMahir untuk Industri (MyMahir-NAICI) dilancarkan hari ini sebagai inisiatif strategik negara bagi memperkukuh pembangunan bakat dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI).
Ia diterajui oleh Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), agensi dan badan pemikir strategik di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bersama Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) melalui MyDIGITAL Corporation di bawah Kementerian Digital.
Majlis itu berperanan sebagai platform nasional bagi menyelaras pembangunan bakat AI, merangka strategi pelaksanaan dan memacu tindakan bersepadu merentas sektor dan agensi.
Mesyuarat sulung Majlis MyMahir-NAICI yang diadakan hari ini menandakan permulaan kerjasama rentas agensi secara tersusun dalam mempertingkat kesiapsiagaan AI negara.

Pada majlis itu, turut diadakan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara TalentCorp dan MyDIGITAL, disaksikan oleh Menteri KESUMA, Steven Sim Chee Keong dan Menteri Digital, Gobind Singh Deo.
“Persoalannya bukan sama ada AI akan menggantikan pekerjaan, tetapi sama ada kita dapat memperkasakan rakyat Malaysia untuk berkembang bersamanya.
“Justeru, melalui MyMahir–NAICI, kita membentuk mekanisme nasional yang menyelaras kemahiran dengan strategi, teknologi dengan bakat, serta dasar dengan matlamat.
“Ini adalah komitmen untuk memastikan rakyat Malaysia bukan sahaja bersedia untuk bekerja, tetapi juga bersedia untuk era AI,” kata Steven.
Sementara itu, Gobind turut menegaskan komitmen bersama dengan menyatakan itu adalah peranan penting kepimpinan kerajaan dalam membina struktur yang menghubungkan inovasi dengan pelaksanaan AI sebenar.
“NAIO mencipta permintaan dan menyokong pelaksanaan, TalentCorp membina penawaran bakat dan MyMahir–NAICI melengkapkan kitaran ini dengan maklum balas berterusan untuk penambahbaikan dasar,” jelas beliau.
Majlis MyMahir-NAICI mengikat kerjasama selama tiga tahun yang menumpukan kepada empat teras strategik iaitu Pembangunan Bakat AI, Integrasi Industri, Penjajaran Dasar & Pembiayaan serta Tadbir Urus Pemegang Taruh.
TalentCorp akan bertindak sebagai sekretariat, manakala NAIO memastikan penyelarasan dengan hala tuju AI negara.
Inisiatif tersebut disokong oleh empat instrumen utama iaitu Kajian Impak MyMahir Platform MyMahir.my, Pelan Tindakan G.I.A.T. dan Rangka Kerja Bakat AI.
Menurut Kajian Impak AI TalentCorp yang diterbitkan November lalu, sekitar 620,000 pekerjaan atau 18 peratus daripada sektor formal dijangka terkesan secara ketara oleh AI dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
Pada masa yang sama, sebanyak 60 peranan baharu telah dikenal pasti dalam sektor AI, digital, hijau dan teknologi mendalam.
Penemuan itu akan memandu pelaksanaan program rintis berdasarkan sektor oleh majlis.
Salah satu ciri utama kolaborasi ini ialah integrasi Indeks Kesiapsiagaan AI (AIRI) ke dalam platform MyMahir.my yang membolehkan syarikat menilai kesiapsiagaan AI mereka, mengenal pasti jurang keupayaan dan mengambil tindakan yang relevan.
Program rintis juga akan diuji melalui sandbox AI dengan penyataan masalah sebenar daripada industri.
Melalui MyMahir–NAICI, Malaysia terus memperkukuh ekosistem AI negara dengan menyelaraskan inovasi dan bakat serta menterjemah data kepada tindakan.
Inisiatif tersebut menyokong keutamaan nasional termasuk Ekonomi MADANI, NIMP 2030, dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.
Untuk maklumat lanjut, boleh layari www.mymahir.my.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








