BERITA SEMASA

Talentcorp, ECERDC jalin kerjasama perkukuh tenaga kerja Pantai Timur

KUANTAN – Sebagai satu usaha memperkukuh kumpulan bakat di Wilayah Pantai Timur dan memastikan tenaga kerja tempatan bersedia untuk merebut peluang dalam pekerjaan berimpak tinggi hasil daripada pelaburan baharu, Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) kini menjalin kerjasama dengan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

Kerjasama itu sejajar dengan aspirasi Pelan Induk ECER 2.0 yang menyasarkan pewujudan 120,000 peluang pekerjaan baharu serta peningkatan kualiti hidup komuniti di seluruh Pantai Timur melalui pekerjaan dan keusahawanan yang berkualiti tinggi.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Dr. Sim Chon Siang, kerjasama tersebut membuka lembaran baharu bagi tenaga kerja di wilayah berkenaan.

“Dengan kemahiran, latihan dan hala tuju yang betul, golongan belia tidak perlu lagi meninggalkan kampung halaman untuk mencari peluang dan mereka boleh berjaya di sini. Kerjasama ini merapatkan jurang antara inisiatif kerajaan persekutuan dan rakyat tempatan, memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemah kepada kehidupan yang lebih baik untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pertukaran Memorandum Kolaborasi (MoC) antara TalentCorp dan ECERDC, hari ini.

Sejak tahun 2018, ECERDC telah merekodkan RM44.7 bilion pelaburan swasta yang telah direalisasikan, mewujudkan lebih 3,000 pekerjaan baharu dan lebih 600 perusahaan keusahawanan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Encik Edward Ling, dalam ucapannya berkata, Pantai Timur bukan sekadar sempadan pertumbuhan ekonomi negara, tetapi juga berpotensi menjadi sempadan baharu pembangunan bakat negara.

“Pantai Timur sedang berkembang pesat sebagai hab tenaga bersih, pembuatan berteknologi tinggi, nadir bumi dan industri penangkapan karbon.

“Melalui kerjasama ini, kami ingin memastikan bakat tempatan bersedia untuk mengambil bahagian dalam bidang pertumbuhan baharu ini sekaligus menjadikan pelaburan serantau sebagai peluang untuk rakyat di rantau ini,” katanya.

Menerusi MoC tersebut, kedua-dua organisasi akan melaksanakan beberapa inisiatif pembangunan bakat serantau, bermula dengan pemetaan keperluan kemahiran tempatan dalam sektor pertumbuhan utama ECER termasuk tenaga bersih, logistik, pembuatan, dan pelancongan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button